Aksi Liga Super Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2018 terus memperlihatkan penguasaan dua pasukan, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B14 ‘A’ dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang terus mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas mengharungi empat perlawanan.
Tangga teratas kekal milik SSMP B14 ‘A’ yang merekodkan kemenangan ke empat berturut turut selepas membenam SMK Presint 14 (1) 4-0 dilaman sendiri pada Sabtu.
Bagi pengendalinya, Osmera Sabah, masih banyak kelemahan yang perlu diberikan perhatian meskipun pasukannya berjaya meraih mata penuh.
“Kami tidak bermula dengan baik dan boleh dikatakan bernasib baik selepas pasukan lawan terlepas dua peluang terbaik dan penalti.
“Kami hanya berjaya mendapatkan rentak perlawanan selepas minit ke 30 dan mudah mendapatkan gol dan mengawal perlawanan,” kata Osmera. 
Hanya satu gol terhasil di babak pertama menerusi Muhd Daniel Adzuan Moh Anuar sebelum dua jaringan pantas menyusul dalam masa dua minit di separuh masa kedua perlawanan.
Muhd Nabil Qayyum Zainuddin melebarkan kedudukan kepada 2-0 di minit 45 sebelum Muhd Aliff Izwan Yuslan melakar nama selaku penjaring seminit kemudian untuk tuan rumah selesa mendahului 3-0.
Adam Daniel Azman melengkapkan pesta gol SSMP ‘A’ sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah kepada empat perlawanan dan mengumpul 12 mata.
“Momentum kami ketika ini bagus dan saya yakin kita akan kekalkan kedudukan ini. Tiada tekanan untuk kami kerana matlamat pasukan dalam Liga KPM musim ini adalah sebagai medan untuk menguji pemain sebelum ke jelajah Eropah serta Piala Supermokh,” kata Osmera lagi.
Mengekori rapat ditangga kedua, pasukan dari selatan tanah air, SSTMI yang turut mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menang tipis 3-2 ke atas SMK Mutiara Impian.
Meskipun ketinggalan 0-2 diawal saingan, kelebihan beraksi di laman sendiri tidak disia siakan SSTMI yang bangkit menerusi jaringan hatrik Muhd Danish Syamer Tajuddin.
SSTMI turut mengumpul 12 mata, namun dibezakan dengan jumlah jaringan oleh pendahulu semasa SSMP B14 ‘A’.
Sementara itu, waki Perlis, SMK Syed Hassan memperbaiki kedudukan, naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga selepas mencatat kemenangan tipi 2-1 ke atas juara Piala Sumbangsih 2018, SMK Tunku Anum di Stadium Mini SMK Syed Hassan, Perlis.
Sabri Abdullah meletakkan tuan rumah mendahului di minit ke 8 sebelum SMK Tunku Anum bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muhd Faiz Najmi Samad di minit ke 23.
Ketika perlawanan seakan akan bakal berkesudahan dengan seri, Muhd Adam Haqeemiey Ibrahim muncul wira tuan rumah dengan gol kemenangan di minit ke 70.
Lain lain perlawanan, SMK Seri Titiwangsa melakar kemenangan pertama selepas tiga perlawanan selepas menundukkan SMK Bukit Nenas 2-1 di Setiu.
Sementara itu, dalam aksi Liga Perdana, wakil Kelantan, SMK Putera terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas berpesta gol ke atas MSS Putrajaya.
Muhd Alif Haikal Azmi dan Syafiq Aiman Maharim masing masing menyumbang dua gol manakala Muhd Najib Mohd Shukri menjaringkan satu gol untuk memastikan mata maksimum milik SMK Putera sekaligus kekal di tangga teratas.
Di tangga kedua, berkongsi enam mata dengan tiga lagi pasukan, SSMP B14 ‘B’ yang turut mengekalkan rekod tanpa kalah, kurang satu perlawanan berbanding SMK Putera.
SSMP B14 ‘B’ melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas SMK Seksyen 11 hasil jaringan Aidil Nazrin Ahmad (minit 28), Dicky Hidayat Mesnianto (minit 49) dan Mohd Ashraf Ahmad (minit 68).
Keputusan perlawanan
Bawah 14 tahun 
SSMP B13 ‘A’  1
SMK Seri Kota  5
SSMP B14 ‘A’  4
SMK Presint 14 (1)   0 
SMK Syed Hassan   2 
SMK Tunku Anum   1
SSTMI  3
SMK Mutiara Impian  2
SMK Bukit Nenas  1
SMK Seri Titiwangsa 2
SMK Tabuan Jaya 0  
SMK Bukit Indah  1
Bawah 17 Tahun 
SSMP B15 ‘A’         2
SMK Seri Kota   1
SMK Syed Hassan          3
SMK Tunku Anum  5
SMK Bukit Nenas   0
SMK Seri Titwangsa  0
SMK Tabuan Jaya   0  
SMK Bukit Indah   2
- Advertisement -