Selepas pulang dari pendedahan di Eropah baru-baru ini, pelumba basikal Terengganu, Afiq Iskandar meneruskan rentak cemerlang apabila menjuarai peringkat pertama acara Perlumbaan Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB 2019 di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.
Percaturan pelumba berumur 16 tahun itu menjarakkan diri dari peloton bersama tujuh pelumba lain seawal kilometer ke-30 berkesudahan dengan jersi merah Yayasan CIMB menjadi miliknya manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dihuni rakan sepasukan, Muhammad Haizam dan Muhammad Hakimi Ajis dari pasukan Selangor.
“Setelah ‘neutral start’ tamat, ramai pelumba melakukan henjutan untuk memisahkan diri dari peloton tetapi tidak berjaya. Saya bersama tujuh pelumba lain berjaya membuat pemisahan sehingga 1 minit 40 saat di hadapan peloton. Namun, perlumbaan ini tak semudah yang disangka, peloton semakin merapatkan kedudukan kepada 58 saat sahaja ketika
perlumbaan berbaki lebih kurang 10 kilometer.
“Alhamdulillah, kami berupaya menjarakkan semula jarak kepada 1 minit 7 saat dan seterusnya saya berjaya menamatkan saingan di tempat pertama dalam kalangan sekelompok pelumba menuju ke garisan penamat. Kejayaan ini menjadi pendorong buat saya dan pasukan bagi mengharungi perlumbaan peringkat kedua esok,” tambahnya yang baru sahaja memenangi Kriterium De Draai, Belanda baru-baru ini.
Selain meraih kemenangan di peringkat pertama, Afiq Iskandar juga dinobatkan sebagai pemenang jersi hijau setelah memenangi zon pecutan dalam laluan perlumbaan sejauh 78.4km dari Kompleks Sukan Seremban 2 hingga ke Bandar Sri Sendayan itu.
Disertai 54 pelumba dari sepuluh pasukan negeri dan satu pasukan pembangunan remaja Singapura, para pelumba mempunyai baki dua peringkat perlumbaan bagi melengkapkan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 241.1km.
Peringkat kedua akan berlangsung esok bermula dari Dataran Senawang ke Bandar Sri Sendayan melibatkan jarak 133.5km disusuli dengan peringkat ketiga menerusi acara kriterium di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan pada Ahad.
Para pelumba akan berentap selama dua hari lagi bagi merebut gelaran Raja Pecut (jersi hijau), Raja Bukit (jersi merah polka dot), juara peringkat (jersi merah) dan juara keseluruhan (jersi biru) tajaan Pro Apparel.
Perlumbaan Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB merupakan acara tahunan anjuran Yayasan CIMB dan Junior Cycling Malaysia dalam misi memberi pendedahan kompetitif kepada bakat-bakat baharu sukan berbasikal.