Oleh Ku Mohd Lufti
Kurang enam bulan sebelum temasya Sukan SEA ke 29 bermula Ogos nanti, skuad bolasepak bawah 22 tahun negara terpaksa menanti sehingga Mei sebelum dapat dikumpulkan untuk menjalani latihan pusat.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah menjelaskan keputusan untuk latihan pusat bagi skuad kendalian Frank Bernhardt belum dimuktamadkan.
Pun begitu, cadangan tersebut masih lagi diperingkat perbincangan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab.
“Kita akan mula pada bulan Mei ini dan proses perbincangan dengan kelab kelab sudah pun berlangsung.
“Kita masih di peringkat perbincangan secara berterusan dan kita akan muktamadkan sebelum bulan Mei nanti,” kata Affandik.
Affandi bagaimanapun tidak mengesahkan kenyataannya bawah ia telah dipersetujui sepenuhnya oleh kesemua kelab dalam Liga Malaysia, sekaligus pastinya mengundang kekecewaan Bernhardt yang masih menanti jawapan daripada majikannya sejak Mei tahun lalu.
Situasi ini sekaligus tidak memberi pengendali kelahiran Jerman itu banyak masa untuk bersama sama pemain pemain dan melakukan penilaian terhadap pemain pemain yang benar benar layak untuk menggalas tugas sebagai pemain Negara di Sukan SEA nanti.
Sebelum ini, Bernhardt pernah mendedahkan pasukan kebangsaan memerlukan paling minimum tiga minggu untuk menjalani latihan bersama sama bagi mengharungi kejohanan yang besar atau berperingkat antarabangsa.
Bernhardt dalam persiapan untuk ke Bandar Ho Chi Minh bagi mengharungi aksi persahabatan antarabangsa menentang Vietnam Bawah 22 tahun pada 7 Februari nanti.
Skuad projek Sukan SEA 2017 akan ke Dubai untuk menyertai Kejohanan Bolasepak Piala Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bermula dari 20 hingga 28 Mac depan.
Lapan pasukan mengambil bahagian dan dibahagikan kepada dua kumpulan.
Malaysia diundi di dalam kumpulan A bersama sama Arab Saudi, China, dan Jordan, manakala kumpulan B diisi tuan rumah UAE, Korea Utara, Thailand dan Singapura.