nicol-david

Oleh Muhammad Aiman

Nasib berbeza dialami dua pemain skuash negara, Dato’ Nicol Ann David dan Delia Arnold di Kejohanan Jemputan Skuash Wanita SRAM 2016 yang membuka tirainya di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil pada hari Rabu.

Nicol menepati reputasinya selaku pilihan utama kejohanan edisi sulung itu apabila mencatat kemenangan mudah 11-4, 11-4, 11-4 dalam masa 24 minit ke atas pemain di kedudukan ke-14 dunia dari England, Jenny Duncalf dalam aksi Kumpulan A.

“Ianya penting untuk saya bermula dengan baik, dan memberi tekanan kepada lawan. Saya tidak selalu bermain di sini jadi saya gembira dapat menyesuaikan diri tanpa masalah, yang penting adalah saya kekalkan fokus kerana setiap mata adalah penting. Saya harap dapat kekalkan momentum menentang Joshna (Chinnapa) esok (Khamis),” ujar Nicol yang masih mencari kejuaraan sulungnya bagi tahun ini.

Bekas pemain nombor satu dunia yang kini berada di kedudukan keempat, akan mengesahkan tiket ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A seandainya menewaskan pemain India, Joshna Chinnapa pada Khamis.

Sementara itu, pemain nombor dua kebangsaan, Delia gagal mengikut jejak Nicol apabila tunduk melawan kepada pemain di ranking kelapan dunia dari Mesir, Omneya Abdel Kawy dalam aksi Kumpulan B.

Delia, pemain di ranking ke-18 dunia, dua kali mensia-siakan mata akhir di set kelima sekaligus membenarkan Omneya untuk mencatat kemenangan 5-11, 11-8, 7-11, 11-7 dan 13-11 dalam masa 52 minit.

“Ia adalah perlawanan pertama saya selepas dua bulan, dan ini juga kali pertama saya begitu hampir untuk menewaskan Omneya. Agak mengecewakan, saya harap boleh beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” ujar semifinalis Terbuka British 2015 itu.

Perlawanan Delia yang seterusnya adalah pada Jumaat, menentang pemain di ranking nombor sembilan dunia, Joelle King dari New Zealand dan dia perlu menang perlawanan itu untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.

Selain perlawanan antara Nicol dan Joshna, turut akan berlangsung pada Khamis adalah perlawanan di antara Joelle dan Omneya.

Untuk makluman, kejohanan ini membabitkan hanya enam pemain dari kelompok 20 terbaik dunia dan tidak menawarkan sebarang hadiah kepada pemenang, dengan penganjur hanya membayar yuran penampilan kepada setiap pemain.

- Advertisement -