Persaingan bagi memburu tempat ke separuh akhir Piala Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) Bawah-14 semakin sengit di kalangan lima pasukan teratas Liga Super.

Tatkala Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian kembali merampas kedudukan pendahulu, tiga lagi pasukan – Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-14, SMK Bukit Indah dan SSMP ‘A’ B-13 kesemuanya terus mengekori rapat dengan 15 mata.

Untuk rekod, hanya dua pasukan teratas dari Liga Super akan meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir dan mereka akan disertai dua pasukan dari Liga Perdana.  

Dalam aksi di Simpang Ampat, SMK Mutiara Impian mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pencabar terdekat sebelum ini, SMK Syed Hassan (SSN Perlis) menerusi jaringan lewat permainan Muhammad Syahmi Nasir.

Kemenangan membolehkan pasukan bimbingan Faqhri Sobri itu melonjak semula ke kedudukan teratas dengan 17 mata, manakala SMK Syed Hassan tergelincir ke tangga kelima dengan 13 mata.

SSMP ‘A’ B-14 bimbingan Effendi Malek pula melonjak ke tangga kedua dengan 15 mata setelah mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas SMK Za’ba (SSN Negeri Sembilan) dalam aksi di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

Gol jaringan Azzanis Adzri Abdul Halim (m-35) dan Najmudin Akmal (m-57, 64) membantu pasukan SSMP ‘A’ B-14 yang beraksi kurang tiga perlawanan berbanding SMK Mutiara Impian mengekalkan rekod bersih lima kemenangan dari lima perlawanan.

Akademi Johor Darul Takzim, SMK Bukit Indah pula melonjak ke tangga ketiga juga dengan 15 mata setelah turut melakar kemenangan kelima dengan menewaskan SSN Sarawak, SMK Tabuan Jaya 3-1 di Kuching.

Kesemua tiga gol buat SMK Bukit Indah dijaringkan di separuh masa pertama menerusi Aiman Danish Abdul Azim (m-4, 17) dan Nasrullah Ibrahim pada minit ke-20 manakala tuan rumah mendapat gol saguhati pada minit akhir perlawanan menerusi Andrew Chundi Anak Michael.

Perlawanan lain menyaksikan Akademi Felda, SMK Presint 14 (1 ) Putrajaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas SSN Pahang, SMK Seberang Temerloh manakala perlawanan di antara SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) dan SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu) berkesudahan seri 2-2.

Sementara itu dalam saingan Liga Perdana, sekurang-kurangnya enam pasukan masih berpeluang untuk memburu tiket beraksi di separuh akhir.

SMK Tunku Anum T.A.R terlepas peluang untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan pendahulu setelah tewas mengejut 0-1 kepada SSN Melaka, SMK Seri Kota.

Ia adalah kekalahan pertama buat SMK Tunku Anum setelah lapan perlawanan namun masih mendahului liga dengan 17 mata, berkelebihan tiga mata ke atas, SMK Gunung Rapat (SSN Perak).

SMK Gunung Rapat melonjak ke tangga kedua dengan 14 mata setelah mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Akademi ATM, SMK Kem Terendak di Ipoh menerusi jaringan Hafidz Alfian (m-7), Haikal Rassid (m-31) dan Ahmad Syakirin Zamri (m-70).

Empat pasukan – SMK Seksyen 11 (SSN Selangor), SMK Putera (SSN Kelantan), SSMP ‘B’ B-13 dan SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) pula kesemuanya berkongsi 12 mata.

SMK Seksyen 11 dan SMK Putera mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi di Subang, SSMP ‘B” B-13 menewaskan MSS Putrajaya 2-1 sementara SMK Tun Hussein Onn pula melakar kemenangan 2-1 ke atas SSMP ‘B’ B-14.  

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER B14

 

SSMP ‘A’ B-14                                                      3

SMK Za’ba (SSN N.Sembilan)                      0

 

SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang)       1

SMK Syed Hassan (SSN Perlis)                    0

 

SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur)      2

SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu)         2

 

SMK Tabuan Jaya (SSN Sarawak)             1

SMK Bukit Indah (Akademi JDT)                3

 

SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda)           2

SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang)   1

 

KEPUTUSAN

LIGA PERDANA B14

 

SMK Tunku Anum T.A.R (SSN Kedah)        0

SMK Seri Kota (SSN Melaka)                           1

 

SMK Seksyen 11 (SSN Selangor)                     2

SMK Putera (SSN Kelantan)                             2

 

SMK Gunung Rapat (SSN Perak)                  3

SMK Kem Terendak (Akademi ATM)           0

 

SSMP ‘B’ B-14                                                        0

SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor)             1

 

SSMP ‘B’ B-13                                                        2

MSS Putrajaya                                                      1

- Advertisement -