Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) berkeyakinan tinggi betapa pesilat-pesilatnya sudah bersedia untuk ‘mengaum’ di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata keyakinan itu bukan sahaja didorong kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 yang menutup tirai pada Sabtu, tetapi melihat kepada kesungguhan dan semangat melawan tinggi yang ditunjukkan pesilat negara.
Malaysia muncul juara keseluruhan kejohanan pra-Sukan Sea itu dengan mengutip jumlah keseluruhan sembilan emas, tiga perak dan empat gangsa (9-3-4) diikuti Vietnam (5-5-7) di tempat kedua dan Thailand di tempat ketiga dengan (4-6-4).
“9 emas memang dalam jangkaan walaupun dua juara dunia tidak bertanding iaitu Siti Rahmah (Md Nasir) dan Razak (Ghazali) kerana kecederaan. Saya gembira keenam-enam pesilat olahraga kita telah berlawan bersungguh-sungguh. Saya boleh bayangkan apa akan berlaku di Sukan Sea.
“Pesilat kita menang secara ‘gentleman’, menang kerana semangat mahu menang dan menang kerana keberanian. Jadi ini saya simpulkan bahawa kita sudah bersedia untuk Sukan Sea dan seterusnya Sukan Asia,” katanya.
“Walaupun capai sasaran kita tidak boleh selesa, sebab apa-apa boleh berlaku tetapi dari semangat, dari segi latihan lasak yang Pesaka ubah, akhirnya kita lihat peningkatan mendadak terutama pesilat-pesilat dari Malaysia B (pelapis),” tambahnya.
Sementara itu, mengenai penganjuran kejohanan edisi ketujuh membabitkan tujuh negara itu, Megat Zulkarnain berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dan memuji semua sekretariat terlibat dalam memastikan kelancaran kejohanan.
“Semua sekretariat yang terlibat adalah sekretariat sama akan bertugas di KL2017. Ini umpama raptai bagi mereka sebelum pertandingan sebenar berlangsung dan mereka jalankan tugas dengan sempurna, pengerusi jawatankuasa yang telah kita namakan ini semua mempunyai jawatan besar di Pesaka Negeri.
“Dari segi pengangkutan, penginapan, penyediaan makanan, urusan jadual pertandingan, giliran pertandingan, urusan panggilan pesilat, penyusunan masa hinggalah penyampaian hadiah semua sempurna. Pertandingan selesai ikut jadual, tidak meleret sampai 1 atau 2 pagi. Itu semua diambil kira.”
“Hanya satu masalah perlu diatasi, iaitu komputer terpadam tiba-tiba. Mereka bagaimanapun bertindak segera, dalam satu minit boleh buka semula ada back-up guna laptop. Namun saya tetap suruh mereka cari punca, adakah sebab komputer terlalu panas dan kenapa tidak kita gunakan dua laptop. Ini akan kita atasi,” jelasnya.
Ditanya mengenai penggunaan sistem pemarkahan digital yang dilaksanakan buat pertama kali, Megat Zulkarnain berkata ia mendapat maklumbalas positif dari negara-negara bertanding.
“Semua negara mengakui sistem yang kita kenalkan ini cukup baik, sangat telus walaupun ada beberapa perkara masih boleh diperbaiki. Pesilat sendiri boleh tengok sama ada mereka sedang mendahului atau ketinggalan menerusi gambar yang dipaparkan.
“Dengan sedikit penambahbaikkan, Pesaka akan dapat menjadi pelopor sistem ini. Tidak perlu lagi juri dipanggil ke tengah untuk sahkan jatuhan ia mendapat maklumbalas yang hebat. Dulu, juri bisik-bisik sesama mereka tiada siapa tahu apa berlaku sekarang satu stadium boleh lihat.”