Pasukan Persija Jakarta akan berwaspada terhadap dua pasukan yang akan turut beraksi di Piala Super Boost Sportsfix Boost di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berwajah baru di Bandar Sukan Kuala Lumpur ( Kuala Lumpur Sports City (KLSC) bermula 13 hingga 20 Januari 2018.

“Piala Super Boost Sportsfix merupakan kejohanan yang penting untuk kami dalam melihat tahap persediaan menjelang musim baru di Indonesia iaitu Liga 1 serta menguji kekuatan pasukan dari negara lain bagi saingan Piala AFC 2018,”kata Pengarah Persija Jakarta, Gede Widiade.

“Kelantan (Malaysia) dan Ratchaburi FC (Thailand) adalah pasukan yang mempunyai reputasi yang baik. Sudah tentu kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka.

“Bermain dengan dua pasukan yang belum pernah kami lawan sebelum ini ditambah dengan venue baru. Jadi saya percaya kami mungkin akan lebih berwaspada dan memberi tumpuan satu perlawanan demi satu perlawanan,”

Pasukan yang diberi nama jolokan Macan Kemayoran (Harimau Kemayoran) ini dalam proses untuk menstruktur semula pasukan selepas melantik jurulatih kelahiran Brazil, Stefano Cugurra sebagai pengendali kelab itu.

Cugurra mempunyai pengalaman mengendalikan beberapa kelab di Thailand selama tujuh tahun antaranya  Chiangrai United, Osotspa Samur Prakan dan Royal Thai Navy.

Persija dibarisi pemain kebangsaan Indonesia seperti Ramdhani Lestaluhu, dan Ismed Sofyan serta Jaimerson (Brazil) yang mengisi slot pertahanan dan Marko Simic dari Croatia selaku penyerang.

Marko Simic bakal bergandingan dengan bekas pemain kebangsaan, Bambang Pamungkas yang turut menggalas tugas selaku naib kapten pasukan Persija pastinya menjadikan kelab ini sebagai pasukan pilihan.

“Kami menandatangani tujuh pemain untuk mengharungi musim baru termasuk mengharungi Piala Super Boost Sportsfix, dan akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Jakarta untuk memastikan pemain pemain bersedia untuk beraksi di kejohanan ini,”katanya lagi.

Persija merupakan pasukan tunggal dalam saingan liga domestik yang belum pernah tersingkir ke liga bawahan dalam tempoh 80 tahun.

“Saya percaya kami akan beraksi secara kompetitif di Piala Super Boost Sportsfix kerana boleh dikatakan mereka sudah 95% bersedia,”

Piala Super Boost Sportsfix dijadual bermula pada 13 – 20 Januari 2018. Jualan tiket bagi kejohanan yang melibatkan tiga pasukan, Kelantan FA, Persija Jakarta dan Ratchaburi FC boleh didapati secara atas talian www.sportsfixcup.com. Jadual perlawanan adalah seperti berikut:

13 Januari 2018 (Sabtu), 8.00 malam                  :               Ratchaburi FC lwn Persija Jakarta

16 Januari 2018 (Selasa), 8.00 malam        :           Kelantan FA lwn Persija Jakarta

20 Januari 2018 (Sabtu), 8.00 malam         :           Kelantan FA lwn Ratchaburi FC

 

 

- Advertisement -