SEKRETARIAT Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 pada Rabu (26 April 2017) mengumumkan jadual pertandingan terkini Sukan SEA ke-29 ekoran perubahan ke atas tarikh upacara penutup rasmi temasya yang dianjak kepada 30 Ogos.
Perubahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi dan penganjuran temasya yang kini disingkatkan dari 13 hari kepada 12 hari, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC Dato’ Seri Zolkples Embong pada sidang media di Sekretariat MASOC di Bukit Jalil.
Menurut beliau, perubahan itu dibuat ekoran keputusan menetapkan upacara penutup Sukan SEA ke-29 dari 31 Ogos kepada 30 Ogos bagi menghormati sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha.
Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 ditetapkan dari 19-30 Ogos di venue sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Langkawi. Bagaimanapun, tirai saingan dibuka awal lima hari sebelum upacara pembukaan rasmi, dengan bolasepak dan bola jaring memulakan saingan awal mulai 14 Ogos.
“MASOC dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengadakan perbincangan, semua perubahan dilakukan berdasrkan maklum balas daripada pemegang taruh, termasuk Majlis Sukan Negara dan juga stesen Penyiar Rasmi,” kata beliau. Â
“Perubahan tidak melibatkan semua sukan, hanya 17 jenis sukan sahaja, iaitu tidak sampai 50 peratus daripada 38 sukan yang dipertandingkan selain membabitkan dan 25 displin,”kata Dato’ Seri Zolkples.
Sukan yang terlibat dalam perubahan jadual termasuk akuatik (terjun dan renang terbuka), badminton, bowling, kriket , basikal (trek, lebuhraya dan BMX), ekuestrian (polo), bolasepak dan futsal lelaki dan wanita, hoki padang lelaki dan wanita, Luncur Ais (figure skating dan short track speed skating), muay, bola jaring, sepak takraw, skuasy, taekwondo, triathlon, ski air dan wakeboard serta angkat berat.
Tumpuan terarah kepada pingat emas pertama temasya pada 16 Ogos iaitu dua emas menerusi acara Chinlone Event 3 dan Event 1 (Sepaktakraw) dan dua emas menerusi acara compound individu lelaki dan wanita (memanah).
“Acara terakhir yang menutup tirai saingan temasya ialah acara angkat berat yang akan berakhir jam 1 petang pada 30 Ogos nanti, sebelum berlangsungnya upacara penutup rasmi pada sebelah malam,” kata Dato Seri Zolkples. Â
Hari terakhir temasya pada 30 Ogos akan menyaksikan 7 pingat emas dipertandingkan dalam tiga sukan iaitu terjun, luncur ais dan angkat berat. Angkat berat kategori lelaki bawah 85kg merupakan acara paling akhir pada 30 Ogos sebelum berlangsung upacara penutup. Â Â
Dalam pada itu, saingan pada 29 Ogos bakal menyaksikan perebutan emas yang sengit di kalangan negara peserta apabila jumlah paling banyak iaitu 61 emas dipertandingkan dalam 17 acara pada hari tersebut sahaja. Â
Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Zolkples mengumumkan pertukaran nama baru beberapa venue Sukan SEA iaitu Arena Petanque KL (sebelum ini Arena Petanque Pudu Ulu) di Cheras,  Kompleks Tenis Jalan Duta (Pusat Tenis Kebangsaan di Jalan Tuanku Abdul Halim), venue ekuestrian Terengganu International Equestrian Park (TIEP) (Lembah Bidong) di Setiu dan Kompleks Sukan Air Presint 6 (sebelum ini Putrajaya Kompleks Sukan Air Putrajaya), venue bagi acara renang terbuka, triathlon dan ski air dan wakeboard.
Dato’ Seri Zolkples turut menyatakan, pendaftaran menerusi nama (entry by name) bagi 405 acara akan dibuka pada 16 Mei dan kesemua negara diberi tempoh sebulan setengah sebelum pendaftaran ditutup pada 30 Jun 2017.