Oleh Muhammad Aiman
Sesudah berakhir saingan Liga Malaysia bagi musim 2016, kini bermulalah episod ‘pancing-memancing’ jurulatih mahupun pemain baru bagi memperkuatkan pasukan, baik pasukan di Liga Super, Liga Premier mahupun Liga FAM.
Paling laris ketika ini sudah tentunya barisan pemain Kedah yang mengakhiri musim dengan nota gemilang menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali selepas lapan tahun dengan menewaskan Selangor dalam aksi final Ahad lalu.
Hanya beberapa hari sahaja selepas muncul juara buat kali kelima, beberapa pemain tonggak Lang Merah dikhabarkan sudahpun bersedia angkat kaki mencari haluan baru selain mendapat tawaran lumayan dari pasukan lain.
Manakala kejayaan membawa Kedah menjuarai Liga Premier musim lalu, serta menduduki tangga ketiga Liga Super, melangkah ke separuh akhir Piala FA dan melangkah dua kali berturut-turut ke pentas final Piala Malaysia sudah cukup melonjakkan saham jurulatihnya Tan Cheng Hoe yang mengakui telah dirisik beberapa pasukan.
Kedudukan K. Gunalan selaku jurulatih Selangor pula paling tidak selamat kerana sejak sebelum dia mengambil alih sementara tanggungjawab dari Zainal Abidin Hassan lagi sudah ada khabar angin bertiup kencang mahukan Mehmet Durakovic kembali membimbing pasukan itu.
Di Kelantan, masalah kewangan yang kian tenat memaksa mereka melupakan khidmat Velizar Popov dan berkemungkinan besar akan melantik jurulatih tempatan dengan nama dua bekas bintang 90-an, Zahasmi Ismail dan Hashim Mustapa disebut-sebut sebagai calon pilihan utama.
Pahang yang terselamat dari tersingkir ke Liga Premier pula dijangka menagih semula sentuhan magis bekas pengendalinya, sama ada Dollah Salleh ataupun Zainal tatkala pasukan itu dilihat bersedia untuk kembali berbelanja besar bagi memulihkan reputasi yang tercalar.
Felda United dan Terengganu pula awal-awal lagi sudah mencari pengganti, Felda memilih mengikat bekas pemain Johor, Azmi Mohamad manakala Terengganu yang tersingkir ke Liga Premier menyambar bekas jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim.
Pulau Pinang juga dijangka mencari jurulatih lain selepas mengharungi musim mengecewakan di bawah kendalian Nenad Bacina manakala hanya T-Team dan Perak dilihat berkemungkinan besar mengekalkan jurulatih masing-masing iaitu Rachmad Dermawan dan Karl Heinz Weigang.
Tindakan mengejut Melaka United tidak menawarkan kontrak lanjutan kepada Mat Zan Mat Aris yang membawa mereka menjuarai Liga Premier dan kembali ke Liga Super pula menyaksikan bekas pemain Kuala Lumpur itu disambar kelab Liga FAM, Air Asia AllStars FC.
Melaka yang tidak yakin dengan tenaga jurulatih tempatan dikhabarkan sedang merancang membawa jurulatih import untuk membantu mereka memberi cabaran serius dalam saingan Liga Super musim depan.
Begitulah antara corat-coret bolasepak Malaysia hanya dua minggu selepas saingan liga menutup tirai secara rasmi dan dijangka lebih banyak lagi perkembangan menarik, panas dan sensasi akan mewarnai kancah bolasepak tempatan dalam tempoh dua bulan akan datang.