SELAIN terhutang budi dengan pasukan dan keluarga, Hariff Saleh juga adalah watak penting di sebalik kejayaan Nur Aiman Zariff dinobat sebagai Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Walaupun mereka mewakili pasukan berbeza yang saling bersaing, namun Nur Aiman mendedahkan Hariff atau lebih mesra disapa sebagai Mamat banyak membantu di awal kariernya.
Berasal dari keluarga susah, iaitu anak kepada pasangan peniaga pasar malam di Setiu, Terengganu, Nur Aiman, 22, mengakui, sokongan Hariff yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) telah membawanya ke peringkat hari ini.
“Saya berasal dari keluarga susah, jadi tidak mudah untuk memulakan karier berbasikal tanpa bantuan.
“Hariff adalah senior saya ketika karier saya belum naik. Dia orang yang banyak membantu dan beri sokongan kepada saya untuk berkayuh.
“Dia bantu saya dengan bagi kasut, jersi dan macam-macam. Dia sentiasa memberi semangat kepada saya,” kata pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu sejurus tamat peringkat 8 LTdL 2020 di Langkawi hari ini.
Nur Aiman dinobat sebagai Raja Bukit selepas mengumpul 34 mata, 11 mata mengatasi pencabar rapat, Quentin Pacher dari pasukan B&B Hotels-Vital Concept KTM.
Kata Nur Aiman, kemenangan ini memberi kepuasan buatnya kerana sejak awal lagi dia memasang
impian untuk mengulangi sejarah yang pernah dicipta Anuar Manan yang memenangi jersi hijau Raja Pecut pada LTdL 2010 dan Adiq Husainie Othman yang muncul pelumba terbaik Asia edisi 2016 (jersi putih).
“Rahsia kejayaan? Berbuat baik pada keluarga. Saya cuba bantu keluarga dan adik-adik sebaik yang mungkin.
“Dulu saya pernah hidup susah, jadi saya tidak mahu mereka hidup susah lagi,” kata anak sulung kepada lima adik beradik itu.
LTdL 2020 dianggap cemerlang buat Malaysia. Selain kejayaan Nur Aiman, Hariff turut memahat sejarah sebagai pelumba negara pertama memenangi dua peringkat dalam satu edisi.