SEPULUH tahun lalu dia disanjung sebagai wira selepas bergelar pelumba Malaysia pertama muncul juara peringkat dalam Le Tour de Langkawi (LTdL).
Bagaimanapun, nama Anuar Manan seakan mula dilupai oleh peminat berbasikal tanahair pada LTdL kali ini biarpun dia sebenarnya memahat sejarah menyamai rekod Ghader Mizbani (Iran) membuat penampilan kali ke-13.
Situasi tersebut sedikitpun tidak menurunkan semangat pelumba berusia 34 tahun itu, sebaliknya dia nekad untuk kembali lebih kuat tahun depan dan cuba memahat sejarah muncul juara peringkat sekali lagi dalam penampilan ke-14.
“Sebelum ini saya berhenti berlumba lebih setahun dan membuat keputusan untuk kembali dalam masa singkat, jadi saya rasa prestasi saya hanya 60 hingga 70 peratus pada LTdL kali ini.
“Pada tahap seperti itu, masih mampu menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik semalam (peringkat 5) adalah sesuatu yang bagus.
“Ya, usia saya sudah 34 tahun dan akan menginjak 35 tahun depan tetapi ia bukan halangan untuk muncul juara peringkat.
“Saya akan cuba kembali pada LTdL 2021 dan pastikan fizikal saya bersedia 100 peratus. Mungkin akan cuba menjadi pelumba tertua memenangi peringkat, tiada yang mustahil,” kata Anuar.
Menurut Anuar, biarpun gagal menjadi pencabar utama dalam perlumbaan kali ini, namun dia gembira melihat perkembangan pelumba Malaysia yang lain.
“Dulu tak ramai pelumba tempatan mampu memberi cabaran kuat tetapi kali ini Hariff Saleh (Terengganu Cycling Team) berjaya muncul juara peringkat dan (Muhammad Nur) Aiman Zariff (Sapura Cycling Team) menyarung jersi Raja Bukit.
“Ini satu perkembangan yang bagus buat basikal lebuh raya Malaysia apabila lebih ramai pelumba mampu bersaing di peringkat tinggi,” kata pelumba pasukan Malaysia itu lagi.
Selepas tamat enam peringkat LTdL 2020, Anuar menduduki tangga ke-108 keseluruhan.