Hengxiang Cycling Team adalah nama yang cukup sinonim dalam kalangan peminat berbasikal lebuh raya di negara ini dan tumpuan pasti turut terarah kepada pasukan benua dari China ini apabila saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu pada 5 Februari nanti.
Pelumbanya, Wang Meiyin pernah menggegar Cameron Highlands pada edisi 2013 apabila memenangi peringkat pendakian itu secara solo dan menyapu tiga jersi utama ketika itu, untuk mengakhiri kayuhan di tangga kelima keseluruhan dan bergelar Raja Bukit 2013.
Dalam kegemilangan kariernya, beliau yang sekali lagi kembali dan dinobatkan gelaran Raja Bukit pada LTdL 2016 telah disambar oleh pasukan berstatus World Team, Bahrain-Merida untuk tiga musim pada awal 2017, sebelum kembali menyertai Hengxiang musim ini.
Berdasarkan senarai awal yang diterima penganjur Human Voyage Sdn Bhd, Meiyin dijangka mampu mencabar jersi kuning berprestij PETRONAS LTdL kali ini kerana pasukan yang dibimbing bekas pelumba kebangsaan China, Li Fuyu ini turut membariskan pelumba yang menduduki ranking nombor dua Asia – Lyu Xianjing.
Selain Meiyin dan Xianjing, Hengxiang turut menyenaraikan Zhang Zheng, yang menduduki ranking ke-76 Asia, dan pelumba berpengalaman kelahiran Latvia, Andris Vosekalns. Dua lagi anggota pasukan itu untuk edisi ke-25 PETRONAS LTdL 2020 ini ialah Miao Chengshuo dan Ma Xinyang.
Xianjing menduduki senarai nombor dua individu Asia pada musim lalu, mengumpul 508 mata di belakang pelumba Astana Pro Cycling, Alexey Lutsenko.
Walaupun begitu, kemampuannya memenangi pingat perak Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) selain jersi kuning Tour of China II dan jersi Raja Bukit Tour of Quanzhou Bay, memberi bayangan beliau bakal berada dalam kelompok merebut gelaran klasifikasi individu nanti.
Tidak banyak boleh diperkatakan terhadap prestasi Meiyin sejak kebelakangan ini kerana beliau kurang mendapat peluang berkayuh dalam perlumbaan besar di Eropah ketika menyarung jersi Bahrain-Merida tetapi pengalaman luas dimiliki pelumba berusia 31 tahun ini tidak boleh dinafikan.
Vosekalns pula pernah dianggap pelumba berpotensi besar Latvia ketika zaman remaja dengan menjuarai gelaran Juara Kebangsaan Lebuh Raya dan Juara Ujian Masa Individu pada 2010 serta muncul Juara Kebangsaan Latvia pada 2014 sebelum dilamar Hengxiang daripada pasukan Rietumu Delfin pada 2018.
PETRONAS LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari, sebelum Peringkat 1 dimulakan di Kuching, Sarawak pada 7 Februari dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.
Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.