MUHAMMAD Nur Aiman Zariff tidak menganggap dirinya ‘superstar’ biarpun dikerumuni peminat sepanjang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Kejayaan mendahului kedudukan Raja Bukit selepas tamat lima peringkat LTdL meletakkan pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu di landasan untuk melakar sejarah muncul anak Malaysia pertama menyambar jersi merah.
Sedar dirinya menjadi tumpuan peminat berbasikal tanahair, anak muda kelahiran Setiu, Terengganu itu berjanji akan melakukan apa sahaja yang termampu pada dua peringkat terakhir pendakian untuk melakar kejayaan.
“Saya tak rasa seperti superstar walaupun saya akui lebih ramai mula mengenali saya tahun ini berbanding dalam tiga penampilan terdahulu.
“Ini adalah rezeki yang tidak diduga. Saya tidak berniat untuk dipuja, cuma mahu memahat sejarah diri dan negara kerana belum ada pelumba Malaysia pernah memenangi jersi merah dalam sejarah LTdL.
“Walaupun pada awalnya saya sasar jersi putih (pelumba terbaik Asia), saya gembira kerana berada di landasan untuk memenangi jersi merah.
“Raja Bukit lebih besar nilainya berbanding jersi putih kerana ia menjadi rebutan semua 120 pelumba yang bertanding tetapi jersi putih hanya dalam kalangan pelumba Asia,” kata Aiman.
Menurut Aiman lagi, sebagai anak sulung kepada lima beradik, dia berharap kejayaannya dalam lumba basikal akan menjadi contoh buat adik-adiknya.
“Saya juga mahu membalas budi semua pihak, dari pasukan, keluarga hingga peminat yang tidak pernah jemu menyokong karier saya.
“Doakanlah semua berjalan baik dalam beberapa baki peringkat kerana saya amat mahukan jersi merah,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.
Selepas tamat peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh hari ini, Aiman mendahului jersi merah dengan 30 mata – 15 mata mengatasi Kevin Rivera Serrano dari pasukan Androni Giocattoli-Sidermec.
Pelumba pasukan Team Bridgelane, Rylee Field di tempat ketiga dengan 14 mata.
LTdL 2020 kini berbaki tiga peringkat, namun hanya dua menawarkan mata pendakian iaitu Peringkat 6 (Taiping-Pulau Pinang) esok dan Peringkat 8 (Dataran Lang-Kuah, Langkawi) pada Sabtu.