Pasukan profesional kebanggaan negara, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mahu menepati statusnya selaku pasukan terbaik benua Asia apabila berbaris bersama pasukan handalan dunia lain pada saingan edisi ke-26 Petronas Le Tour de Langkawi 2022, 11-18 Oktober depan.
Berada pada tangga ke-32 dunia dari segi ranking dengan pungutan 1174.75 mata ketika ini dan pasukan terbaik dari Asia, TSG bagaimanapun tidak mahu kedudukan itu memberi tekanan yang tidak diperlukan kepada pelumbanya.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, enam pelumba yang akan dipilih beberapa hari sebelum jelajah bermula, sedar dengan tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk mengibarkan cabaran pasukan itu.
“Kami mahu bersikap realistik dan hanya memasang sasaran satu kemenangan podium, sama ada kemenangan peringkat atau keseluruhan, tetapi para pelumba tahu apa yang perlu dilakukan kerana mereka sudah cukup berpengalaman berkayuh dan bersaing di pentas tertinggi ini.
“Apa yang pasti, TSG sudah membuat perancangan sendiri untuk meletakkan pelumba berada dalam kondisi fizikal dan mental terbaik untuk bersaing di dalam peloton yang mengandungi ramai pelumba elit dari pasukan berstatus World Team dan Pro Continental Team,” katanya ketika dihubungi Jabatan Media LTdL 2022.
Nasiruddin berkata, pasukan itu akan menyenaraikan enam pelumba terbaiknya sebaik tamat Jelajah Iran dan Tour de Taiwan yang bermula awal Oktober, manakala pelumba yang tidak mengikuti kedua-dua perlumbaan itu akan mengadakan latihan pusat di Gerik, Perak.
Walaupun tidak menyebut nama pelumba, TSG dilihat pasti akan menyenaraikan dua pelumba pendaki sensasinya, Anatolii Budiak dari Ukraine dan Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) yang mencatat keputusan memberangsangkan pada perlumbaan Tour of Sakarya di Turkiye akhir bulan lalu, bagi perebutan kedudukan individu dan berpasukan terbaik keseluruhan.
Sainbayar juga diharap akan memperkuatkan cabaran pasukan itu dalam saingan berpasukan Asia, bersama-sama dua pelumba tempatan yang akan dikenal pasti nanti.
Mungkinkah pakar pecut tempatan, Harrif Saleh turut terpilih untuk menambah koleksi tiga kemenangan peringkat peribadi dalam LTdL? Segala-galanya akan ditentukan beberapa hari sebelum LTdL membuka tirai saingannya di Kuala Pilah, 11 Oktober depan.
Mengenai persaingan tahun ini, Nasiruddin berkata TSG menjangkakan saingan paling sengit dengan adanya enam pasukan elit World Team iaitu UAE Team Emirates, Cofidis, Lotto-Soudal, EF Education-EasyPost, Movistar dan Astana-Qazaqstan, selain empat pasukan Pro Continental iaitu Drone Harper-Androni Giacattoli, Uno X-Pro Cycling, Alpecin-Deceuninck dan Burgos-BH.
LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), membabitkan jarak keseluruhan 1,096.9km.