Pelumba Uno-X Cycling Team, Erlend Blikra meraih kemenangan Peringkat 6 PETRONAS Le Tour de Langkawi apabila memenangi henjutan berama-ramai ke garisan penamat di perkarangan Masjid Zahir di sini, hari ini.
Blikra, pelumba kelahiran Norway berusia 25 tahun menewaskan pelumba Astana-Qazaqstan, Gleb Syritsa yang juga pemenang Peringkat 1 dan pelumba Lotto-Soudal, Rudiger Selig dalam pecutan terakhir, mengetuai kelompok besar pelumba dengan catatan masa 2 jam 49 minit 42 saat, atau purata kelajuan 42.57kmj.
Hujan lebat yang turun sepanjang Peringkat 6, bermula di Padang Kota Lama itu memaksa ramai penyarung jersi sekadar berkayuh secara selamat walaupun enam pelumba benua membuat pemecahan awal sebaik perlumbaan melepasi zon keraian.
Blikra yang tewas kepada Syritsa di perkarangan Menara Berkembar PETRONAS Selasa lalu, keempat di Raub dan kelima di Meru Raya, kali ini mudah menyusup ke kelompok depan sebelum memulakan henjutan terakhirnya kira-kira 100 meter ke garisan penamat.
“Saya gembira dengan kemenangan ini. Tetapi kayuhan hari ini agak mudah, mungkin kerana laluan ke penamat yang lurus, ramai pelumba yang keletihan atau menyimpan tenaga untuk esok atau berhati-hati kerana jalan basah disebabkan hujan sejak pagi.
“Walaupun pasukan kami kurang menyinar semalam (Kuala Kangsar-Kulim), saya tetap berusaha mencari kemenangan peringkat di laluan landai dan akhirnya berjaya hari ini,” katanya yang mengecap kemenangan pertamanya dalam perlumbaan bertaraf ProSeries.
Kemenangan di Alor Setar itu juga membolehkan Blikra mengutip 15 mata lagi menjadikan 40 mata keseluruhan, sekaligus membolehkan dia merampas jersi hijau Raja Pecut daripada penyarung sehari dari Movistar, Max Kanter yang menduduki tempat kelima pada Peringkat 6 itu.
Dengan pelumba tiba dalam kelompok besar, tiga penyarung jersi lain masih selamat termasuk penyarung jersi kuning sejak Peringkat 3 di Genting Highlands, Ivan Ramiro Sosa yang terus unggul 23 saat di depan pencabar terdekat dari EF Education-EasyPost, Hugh John Carthy.
Tanpa zon pendakian di sepanjang laluan, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff juga masih mengekalkan jersi merah Raja Bukit yang disandangnya.
Begitu juga rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar yang masih 1 saat di depan pencabar terdekat dari Astana, Andrey Zeits dalam saingan Pelumba Terbaik Asia.
Sebaik perlumbaan dilepaskan, enam pelumba – Tiano Da Silva (Pro Touch), Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Team), Willie Smit (China Glory Cycling Team), Kee Zhe Yie (Malaysia) serta Marco Lumanog dan Junreck Carcueva (Filipina) bermula agresif dengan pemecahan awal dan menguasai zon pecutan pertama di pertengahan Jambatan Pulau Pinang pada jarak 7.8km.
Kumpulan pendahulu ini terus melebarkan jarak dan suatu ketika berada kira-kira 2:15s di depan peloton yang tetap mengekalkan tempo kayuhan laju untuk mengawal keadaan.
Hanya selepas jarak 50km, barulah peloton mula berkayuh laju dan mencantas sedikit demi sedikit kelebihan kumpulan pendahulu, kepada 1:45s, 1:35s dan 1:20s ketika memasuki jarak 64km.
Ketika berbaki 20km, pelumba China Glory Smit, pelumba berpengalaman dari Afrika Selatan yang pernah bersama pasukan Vini Fantini, Katusha-Alpecin dan Burgos, cuba membuat pemecahan secara solo.
Begitupun, peloton yang diterajui pelumba Alpecin dan Lotto-Soudal terus mengejar Smit yang kehabisan tenaga sebelum dapat menangkapnya pada baki 9km terakhir, sebelum aksi henjutan beramai-ramai berakhir dengan kemenangan buat Blikra.
Peringkat 7 LTdL 2022 bersambung dengan jarak sejauh 90.8km tetapi dianggap menarik kerana pelumba perlu berkayuh ke penamat Kategori 1 di puncak Gunung Raya, sekaligus memungkinkan persaingan menarik dalam perebutan keempat-empat jersi memandangkan pendahulu masa kini tidak mempunyai kelebihan yang selesa di depan pencabar terdekat masing-masing.