KEGEMBIRAAN pelumba UAE Team Emirates, Juan Sebastian Molano yang terlebih dulu melintasi garisan penamat Peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 dalam saingan henjutan beramai-ramai di pekan Raub, hari ini, bertahan beberapa jam sahaja apabila ia dibatalkan oleh Presiden Panel Komisar (PCP) yang diketuai oleh Wayne Pomario.
Pelumba ARA Pro Racing Sunshine Coast, Craig Wiggins yang menduduki tempat kedua sebaliknya diisytiharkan sebagai pemenang manakala Molano yang didakwa memecut secara berbahaya dalam pecutan terakhir itu, diturunkan ke tangga ke-109, terakhir dalam kelompok besar pelumba yang melintasi garisan penamat.
Penyarung jersi kuning dari Astana-Qazaqstan yang menang pada Peringkat 1 semalam, Gleb Syritsa dinaikkan sebagai pemenang tempat kedua manakala pelumba Alpecin-Deceuninck, Jacub Mareczko diumum pemenang ketiga, semuanya dengan catatan masa 4 jam 9 minit 20 saat.
Perubahan keputusan itu juga tidak mengubah kedudukan penyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan dan jersi hijau Raja Pecut masih disandang Syritsa.
Dia kini mempunyai kelebihan 10 saat di depan pencabar terdekat dari UNO-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra serta dua pelumba lain, Jambaljamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) dan Teerapol Chawchiangkwang (Thailand Continental Team) dengan catatan terkumpul 7 jam 52 minit 47 saat; selain mengumpul 27 mata dalam saingan Raja Pecut, 8 mata di depan Blikra.
Peringkat 2 turut memperlihatkan dua protagonis TSG, Sainbayar dan Muhammad Nur Aiman Zariff yang megah berada di podium dengan jersi putih Pelumba Terbaik Asia dan jersi merah Raja Bukit.
Nur Aiman, pemenang jersi Raja Bukit 2020 ketika bersama Sapura Cycling Team, berkata dia dan Sainbayar bertindak awal untuk memastikan pungutan mata di zon pendakian pertama di Petaseh dan pendakian kedua di Bukit Damar.
“Jersi merah ini bagus untuk menaikkan semangat saya kerana memang strategi kami untuk mengekalkan kedua-dua jersi ini buat TSG,” kata pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi 2022 itu yang mengakui gembira tetapi tetap gemuruh dapat berkayuh dengan pelumba handalan pasukan WorldTeam pada edisi ke-26 LTdL 22 ini.
“Kedua-dua kami sekali lagi membuat pemecahan awal untuk memastikan mata di zon pendakian pertama. Saya kemudian memperlahankan kayuhan untuk menyimpan tenaga bagi peringkat ke Genting esok.
“Aiman pula terus berada di dalam kumpulan pendahulu untuk mengutip mata di pendakian kedua sebelum kami kembali ke dalam kumpulan besar,” kata Sainbayar yang mengumpul sama masa dengan Chawchiangkwang (7:52.57s) dan sama mata dengan Nur Aiman (17 mata) dalam saingan Raja Bukit.
“Apa perancangan pasukan untuk Genting esok, segala-galanya bergantung kepada keadaan kerana kami juga ada Anatolii Budiak yang berada dalam kelompok atas untuk bersaing merebut jersi kuning,” kata Nur Aiman.
Sebaik perlumbaan dilepaskan di depan Menara Jam Merdeka, Kuala Klawang, sasaran TSG untuk membolehkan Sainbayar mempertahankan jersi Raja Bukit dapat dilihat apabila sekali lagi pelumba kelahiran Mongolia itu yang dibantu Nur Aiman Zariff membentuk pasukan pendahulu, mengandungi Ratchanon Yaowarat (Thailand Continental Team); Didier Munyaneza (Pro Touch); Nik Azwan Zulkiflie (Malaysia); Andy Rayon (Mula Cycling Team) dan Marco Lumanog (Filipina).
Mereka berada kira-kira tiga minit di depan dan memastikan Sainbayar menambah pungutan di zon pendakian pertama, sebelum pelumba 26 tahun itu kembali ke dalam peloton.
Enam pelumba di depan, terus meningkatkan tempo kayuhan tetapi kelompok besar pelumba memastikan jarak kumpulan itu tidak terpisah jauh dengan hanya perbezaan 3 minit 10 saat sahaja.
Menghampiri jarak kira-kira 100km, barulah peloton yang dikemudi pasukan Alpecin dan Astana mempertingkatkan kelajuan dan mencantas perbezaan masa itu kepada kira-kira 1:25s.
Ketika itu, Ratchanon cuba membuat breakaway secara solo dan berada kira-kira 200m atau 25s di depan kumpulan pendahulu, tetapi pelumba 23 tahun itu dapat ditangkap pada baki 10km.
LTdL22 menempuh peringkat paling sukar esok apabila pelumba mendaki ke puncak Genting Highlands selepas bermula di Putrajaya, membabitkan jarak sejauh 131.9km.
Dengan tiga zon pecutan dan lima zon pendakian termasuk penamat kategori Hors, dijangka perlumbaan berlangsung sengit dan keempat-empat jersi taruhan akan bertukar tangan.