TERTANGGUH dua kali tidak menghalang edisi ke-26 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL22) dianjurkan dengan jayanya, bermula di Kuala Pilah pada 11 Oktober lalu hingga apabila tirainya dilabuhkan di Pekan Kuah, Langkawi, semalam.
Lapan pemenang peringkat berbeza dapat disaksikan pada sepanjang lapan hari perlumbaan yang menjadi perlumbaan berstatus ProSeries terakhir dalam kalendar perlumbaan musim 2022 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa.
Sejak awal apabila penganjur Human Voyage (M) Sdn Bhd mengumumkan kehadiran enam pasukan elit WorldTeam dan empat pasukan ProTour, keghairahan peminat berbasikal tempatan hangat, apatah lagi LTdL tidak dapat dilangsungkan pada tahun lalu akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Pelumba Astana-Qazaqstan, Gleb Syritsa muncul pemenang Peringkat 1 di depan mercu tanda ikonik Menara Berkembar PETRONAS; diikuti Craig Wiggins (ARA Sunshine Coast Racing Team) yang diisytihar pemenang selepas pelumba UAE Team Emirates, Juan Sebastien Molano dibatalkan kemenangannya kerana berkayuh secara berbahaya di Raub; dan Ivan Ramiro Sosa (Movistar) muncul pemenang di pendakian sukar ke puncak Genting Highlands pada Peringkat 3.
Pelumba Alpecin-Deceuninck, Jakub Mareczko memahat namanya buat kali keempat dalam LTdL pada laluan landai Sabak Bernam ke Meru Raya pada Peringkat 4 sebelum rakan sepasukannya, Lionel Taminiaux cemerlang di akhir Peringkat 5 di Kulim.
Pelumba UNO-X Cycling Team, Erlend Blikra mengambil giliran selaku pemenang Peringkat 6 di Alor Setar sebelum perlumbaan berpindah ke Pulau Langkawi untuk Peringkat 7 pendakian ke Gunung Raya.
Namun faktor alam, cuaca dan keselamatan menyebabkan peringkat itu terpaksa diubah menjadi laluan landai di sebahagian pulau dan berakhir dengan kemenangan seorang lagi pelumba Alpecin, Sjoerd Bax sebelum pelumba Burgos-BH, Alexander Molenaar menutup jelajah dengan kemenangan pada hari terakhir.
Jelas tiada pelumba yang benar-benar dominan, kecuali Alpecin yang mampu berbangga dengan tiga kemenangan daripada lapan peringkat, sekaligus mengesahkan reputasinya untuk menyambut musim 2023 sebagai pasukan baru dalam kelas WorldTeam.
Sosa pula mampu berbangga dapat menyambung legasi pelumba Colombia yang menang di LTdL, sementara Blikra dinobatkan sebagai Raja Pecut LTdL22, sambil masing-masing turut membantu pasukan mereka menduduki tiga kelompok teratas dalam senarai berpasukan keseluruhan.
Bagi peminat tempatan, mereka turut ceria apabila Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menerusi dua pelumbanya – Jambaljamts dan Muhammad Nur Aiman Zariff, masing-masing memenangi gelaran Pelumba Terbaik Asia dan Raja Bukit 2022.
Namun, LTdL22 ini turut diwarnai beberapa insiden dalam perlumbaan yang mungkin mengejutkan, bermula kira-kira seminggu sebelum dimulakan apabila Pengarah Perlumbaan dan Panel Presiden Komisar, terpaksa menolak penyertaan empat pasukan benua Asia atas kegagalan membuat pembayaran yuran doping pada awal musim, yang menjadi antara syarat untuk berlumba dalam perlumbaan berstatus ProSeries.
Tidak hairanlah ramai yang tertanya mengapa Sapura Cycling Team, Roojai Cycling Team, Kuwait Pro Cycling Team dan 7-Eleven Cliqq yang sepatutnya melengkapkan penyertaan 22 pasukan, tidak berbaris di garisan permulaan.
Sebaliknya, Thailand dan Filipina melengkapkan tiga kuota pasukan kebangsaan daripada 20 pasukan yang bertanding, lantas mengurangkan perancangan asal 132 pelumba kepada 120 pelumba.
Situasi itu juga menutup peluang untuk melihat 15 pelumba kelahiran tempatan dari empat pasukan berbeza bersaing di LTdL22 ini tidak kesampaian apabila hanya lapan pelumba Malaysia dari dua pasukan saja yang bertanding.
Daripada 120 pelumba yang sepatutnya bermula, hanya 117 pelumba yang berbaris di garisan permulaan di Kuala Pilah, selepas tiga pelumba daripada tiga pasukan berbeza, terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan.
Cerita di dalam peloton juga tidak kurang menarik apabila buat pertama kali juga, kemenangan Molano dibatalkan selepas beberapa jam perlumbaan Peringkat 2 tamat di Raub; penyingkiran pelumba pecut negara dari TSG, Hariff Salleh di Peringkat 5 atas kesalahan berpaut pada kenderaan pasukan, serta pengubahsuaian laluan Peringkat 7, sehari sebelum ia dijadualkan berlangsung yang menyebabkan pakar pendaki tidak berkesempatan untuk cuba merampas jersi kuning yang disarung Sosa.
Daripada 117 pelumba di Kuala Pilah, hanya 100 pelumba disahkan berada dalam senarai terakhir yang menamatkan saingan.
Pada sepanjang jelajah juga, pelumba luar terutama dari Eropah dapat merasai keperitan sebenar berkayuh di bawah cuaca ekstrim tropika – panas terik, mendung berbahang dan hujan lebat, yang menjadi antara keunikan LTdL sejak sekian lama.
Semua cerita di dalam dan luar peloton ini nyata menambah debaran, warna dan seri untuk edisi ke-26 LTdL 2022, menepati gelaran kepadanya sebagai Perlumbaan Terhangat Asia.
Amat diharapkan, pasukan dan pelumba tempatan akan mendapat pengajaran dan iktibar daripada apa yang telah berlaku sebelum dan semasa LTdL22 ini, untuk mempersiapkan diri dengan lebih mantap di masa akan datang.