PELUMBA Movistar, Ivan Ramiro Sosa memenangi peringkat ikonik pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 3 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 hari ini, sekaligus menyandang jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan yang baru.
Pelumba 24 tahun Colombia itu yang mempamer kayuhan bertenaga di bawah hujan agak lebat menjelang tiba ke garisan penamat, mengakhiri kayuhan sejauh 124km dari Putrajaya itu catatan 3 jam 25 minit 31 saat, 19 saat di depan pencabar terdekat dari pasukan EF Education-EasyPost, Hugh Carthy.
Movistar yang tampil kali pertama di LTdL, nyata cemerlang apabila seorang lagi pelumbanya, Einer Rubio Reyes menduduki tempat ketiga selepas melintasi garisan penamat 1:56s kemudian.
Dengan kemenangan itu dan 10 saat bonus kepada pemenangnya, Sosa yang menyertai Movistar sejak dua tahun lalu, mencatat masa terkumpul 11j18m24s, 23s di depan Carthy dalam senarai individu keseluruhan.
“Ini adalah hasil kerjasama sepasukan yang baik dan kemenangan yang bermakna kerana adalah penting bagi saya menamatkan musim ini dengan satu kemenangan.
“Pasukan kami memang memasang sasaran untuk menang di sini, strategi kami menjadi kerana saya dan seorang rakan berada di kelompok kecil di depan yang mengejar dua pelumba di depan.
“Menjelang beberapa kilometer terakhir, saya hanya aktif mengekori Carthy dan dapat mengikut rentak kayuhannya hinggalah berasa saya boleh mengatasinya pada baki 1km lalu terus cuba meninggalkannya dan menang,” kata pelumba kelahiran Pasca, Colombia itu yang menjadi pelumba kesembilan dari negara itu menakluk puncak Genting Highlands sepanjang 21 kali puncak peranginan itu menjadi lokasi penamat.
Sementara itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Zariff membuat percaturan tepat untuk mengekalkan jersi merah Raja Bukit yang disarungnya selepas Peringkat 2 di Raub semalam, dengan membuat pemecahan awal dalam sekumpulan 3 pelumba lain serta menawan dua zon pendakian di Tekali dan Look Out Point, Ampang.
Tambahan 12 mata yang dikutip hari ini mengukuhkan kedudukannya dalam pungutan mata kepada 29 mata, 4 mata di depan Sosa yang diberi 25 mata atas pencapaiannya mengungguli pendakian kategori Hors itu.
“Syukur, percaturan saya menjadi kerana memang menjadi strategi saya untuk sekali lagi berada di kumpulan depan untuk memastikan pungutan mata maksimum di dua zon pendakian, hanya selepas itu barulah saya memperlahankan kayuhan disebabkan agak keletihan.
“Perlumbaan memang sukar kerana saya telah memerah tenaga sejak tiga hari lalu untuk sentiasa berada di kumpulan depan. Walaupun pungutan mata agak tinggi tetapi ia belum selesa dan saya akan cuba menambah lagi mata pendakian di peringkat seterusnya.
“Matlamat saya ialah untuk memenangi jersi Raja Bukit ini,” kata pemenang jersi Raja Bukit 2020 ketika bersama Sapura Cycling Team itu.
Sementara itu, pemenang Peringkat 1 Gleb Syritsa dari Astana-Qazaqstan terus mengekalkan jersi hijau Raja Pecut manakala rakan sepasukannya, Andrey Zeits yang menduduki tempat kelapan Peringkat 3 itu, disarungkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia, merampasnya daripada pelumba TSG Jambaljamst Sainbayar yang tercicir 10 saat di belakang.
“Saya berada dalam kumpulan pengejar bersama Sosa dan Carthy tetapi gagal bertahan pada 5km terakhir. Saya tahu dengan laluan Genting ini dan gembira dengan jersi putih ini.
“Lagipun Astana masih memegang dua jersi setakat ini, jadi saya berpuas hati setakat ini dan akan cuba mengekalkannya sehingga akhir jelajah,” kata pelumba 35 tahun kelahiran daerah Pavlodar yang pernah menyertai ketiga-tiga jelajah Grand Tour bersama Astana selama 12 tahun dan dua tahun di Michelton-Scott, sebelum kembali mewakili Astana tahun ini.
LTdL2022 disambung dengan Peringkat 4 Sabak Bernam ke Meru Raya sejauh 137.9km, membabitkan 2 zon pecutan dan 1 zon pendakian mudah di Batu Gajah.