floorball.2

Oleh Muhammad Aiman

Kegagalan floorball tersenarai sebagai salah satu sukan dipertandingkan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, mengundang rasa kecewa Persatuan Floorball Malaysia (PFM) yang tanpa berselindung membidas sikap tidak membantu Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Dato’ Low Beng Choo dan penolongnya, Dato’ Sieh Kok Chi.

Timbalan Presiden PFM, Dzul Akbar Dom Ami berkata alasan bahawa PFM bukan ahli gabungan MOM sebagai punca penolakan sukan itu adalah tidak relevan memandangkan Malaysia selaku negara penganjur mempunyai kelebihan untuk membuat keputusan sukan mana yang mahu dipertandingkan.di temasya dwitahunan itu.

“Beng Choo telah memaklumkan permohonan kita ditolak kerana PFM bukan ahli gabungan MOM. Walaupun bukan ahli gabungan, sepatutnya tiada masalah jika kami buat rayuan untuk sukan itu dipertandingkan, kami telah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan, menteri pun tahu kita telah bekerja keras dan memberi sokongan penuh terhadap usaha PFM.

“Persoalan saya senang, kalau di Myanmar dan Singapura boleh dipertandingkan, kenapa tidak di KL? Bila saya kata walaupun bukan ahli gabungan kita ada kelebihan dan keistimewaan sebagai tuan rumah, apa salahnya masukkan sahaja. Kemudian dia (Beng Choo) kata sukan ini kurang popular,” ujar Dzul yang memegang jawatan Timbalan Presiden PFM bagi penggal 2016-2018 bermula Mei lalu.  

MOM pada awal bulan ini telah memuktamadkan senarai 38 sukan yang akan dipertandingkan di Kuala Lumpur 2017, dengan tambahan hanya empat sahaja sukan dari senarai 41 jenis sukan yang membuat rayuan untuk dipertimbangkan iaitu Lawan Pedang, Judo, Muaythai dan Triathlon.  

Menurut Dzul lagi, Beng Choo dan Kok Chi masing-masing turut tidak mengambil serius usaha persatuan itu untuk menjadi ahli gabungan MOM meskipun telah menghantar permohonan berulang kali manakala setiap kriteria minimum yang ditetapkan telahpun dipenuhi.  

“Untuk makluman, kami telah beberapa kali hantar permohonan, proposal, maklumat terperinci mengenai apa yang MOM mahukan. Dari program pembangunan, apa kita buat, anjurkan dari peringkat sekolah hingga ke peringkat universiti, kebangsaan. Tapi Beng Choo dan Kok Chi masih menyalahkan PFM yang tidak hantar proposal lengkap untuk jadi ahli gabungan.

“Kalau mereka (Beng Choo dan Kok Chi) nak membantu dan mahu melihat sukan ini pergi jauh, benda seperti ini tidak sepatutnya menjadi isu. Kami telah merayu banyak kali melalui surat rasmi, panggilan dan sebagainya tetapi tidak dilayan,” katanya kepada Sports247.my.

Untuk rekod, floorball telah diperkenalkan sebagai sukan pertunjukkan di temasya Sukan Sea Myanmar 2013 dan sambutan menggalakkan yang diterima membolehkannya dipertandingkan di Sukan Sea Singapura pada tahun lalu, yang mana Malaysia membawa pulang sebutir gangsa.

“Jadi dengan semua perkembangan positif ini, Malaysia sebagai tuan rumah patut memperkenalkan sukan ini, malah di sekolah-sekolah pun sudah bermula program pembangunan. Saya yakin pihak MOM sedar hal ini kerana Dato’ Nazifuddin (Najib – naib presiden MOM) sendiri pernah datang ke pertandingan sekolah-sekolah kebangsaan pada Mei lalu.

“Lagipun kalau pihak penganjur mahu potong bajet dan tiada dana untuk sokong sukan ini, badan induk antarabangsa (IFA) telah mengemukakan surat kepada KBS mereka akan bagi peruntukan. Kita tidak perlukan dana dari sesiapa, kita cuma perlukan sokongan untuk floorball berkembang ke tahap tertinggi dan saya berterima kasih kepada KBS terutamanya  YB Khairy Jamaluddin yang telah banyak memberi sokongan terhadap usaha kami.

“Saya tidak menyalahkan MOM kerana mereka memang ada membantu, Dato’ Norza (Zakaria), Dato’ Mumtaz (Jaffar), Dato’ Nazifuddin semuanya agak suportif. Cuma kecewa dengan dua individu ini (Beng Choo dan Kok Chi) sahaja, apabila semua sudah dibuat, mereka berterusan menyukarkan kita, pelbagai alasan lain pula diberi.”

Menambah kepada kenyataan Dzul, adalah setiausaha PFM, Gary Lee Kah Yon yang menjelaskan dengan terperinci mengenai prosedur yang telah dipatuhi PFM untuk memohon menjadi ahli gabungan MOM.

“Pada 2013, kita telah berjaya mendaftar semula PFM di bawah Pesuruhjaya Sukan. Kita ketika itu ada 4 persatuan negeri yang berdaftar dan ia tidak memenuhi kriteria untuk jadi ahli gabungan MOM. Bermula 2013, kami bekerja keras memenuhi kriteria tersebut, antaranya mempunyai 6 negeri berdaftar yang telah kita penuhi pada tiga bulan lepas, menganjurkan kejohanan remaja atau kebangsaan yang mana telahpun kami anjurkan sejak 2012.

“Dan semua ini kami sentiasa update kepada MOM. Kami tahu MOM akan bagi alasan keahlian untuk sekat ia dipertandingkan di Sukan Sea, jadi kami bergerak pantas walaupun hingga ke saat akhir. Sehingga kini tiada keputusan mengenai status permohonan kami.”

Gary yang merupakan setiausaha PFM sejak 2014, berkata selain keahlian, alasan lain turut ditimbulkan Kok Chi yang merupakan setiausaha agung MOM ketika itu iaitu floorball tidak popular, tidak mempunyai program pembangunan minimum, dan tidak boleh menyumbang pingat

“Semua ini dakwaan tidak berasas dan tidak masuk akal. Kita mempunyai program pembangunan yang konkrit, bermula di peringkat sekolah. Saya tidak rasa kebanyakan sukan di Sukan Sea ada pembangunan terancang. Jadi berdasarkan apa kenyataan itu dibuat?

“Kurang popular? Memanglah bagi dia kurang popular, untuk rekod sejak 2013 kita sudah ada lebih 2,500 yang bermain floorball sekadar untuk riadah, dan hampir 1,000 pemain yang bermain secara kompetitif dalam liga, masih tidak popular? Mengenai tak boleh sumbang pingat, dia tak pernah ambil tahu rasanya kita menang gangsa di Singapura dan peluang lebih tinggi bila main di tempat sendiri, saya tidak rasa Hoki Ais pun kuat.

“Kita mahu menyumbang kepada kejayaan Malaysia tetapi dinafikan peluang, mana perginya semangat kesukanan?..”

Bagi pihak PFM, mereka bagaimanapun tidak akan berputus asa dan akan terus memperjuangkan agar floorball mendapat tempat di temasya-temasya besar selepas ini, bermula dengan memperkenalkannya di SUKMA 2018.

Dalam perkembangan lain, Kejohanan Floorball Lembah Klang yang berlangsung hujung minggu lalu menyaksikan ZAP Eagles muncul juara dengan menewaskan Red Phoenix 1-0 menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Gang Bintang yang mencatat kemenangan 2-0 ke atas Next 160.

- Advertisement -