Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan mara ke penentuan tempat ke-5 dan ke-6, Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman, selepas menewaskan Indonesia 6-0 dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-5 hingga 8 yang berlangsung hari ini.
Malaysia akan bertemu Thailand yang mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Singapura dalam satu lagi perlawanan klasifikasi hari ini dan aksi Malaysia dengan Thailand esok ibarat ulangan pertemuan edisi 2017 di Kakamigahara, Jepun.
Kemenangan 6-0 yang dicatatkan oleh skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim hari ini hasil tiga gol padang dan tiga gol pukulan sudut penalti dengan Nuraini Abdul Rashid menyumbangkan dua gol sementara Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan Fatin Shafika Mahd Sukri masing-masing menjaringkan satu gol.
Seawal minit ketiga perlawanan Malaysia membuka tirai jaringan hasil gerakan padang Raja Norsharina Raja Shabuddin yang menerima bola hantaran daripada Hanis Nadiah Onn masuk ke dalam kawasan gol dan melakukan satu pukulan ke sebelah atas kanan pintu gol lawan, untuk gol pertama terhasil.
Dua minit kemudian, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Nuraini Abdul Rashid menyempurnakan pukulan tersebut untuk Malaysia terus selesa di hadapan. Kedudukan 2-0 kekal menutup aksi separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, seminit sebelum aksi suku ketiga berakhir, kesilapan pemain Indonesia ketika cuba menghalang bola hantaran Hanis Nadiah Onn digunakan sebaiknya oleh Nuramirah Shakirah Zulkifli untuk gol ketiga Malaysia terhasil.
Suku terakhir perlawanan, Malaysia menjaringkan tiga lagi gol bermula dengan gol gerakan padang oleh Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-49, Malaysia menambah gol kelima hasil kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-52 menerusi penyudahan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun.
Lima minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, giliran Fatin Shafika Mahd Sukri untuk mencatat nama selaku penjaring selepas menyudahkan pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada Malaysia dan perlawanan tamat dengan kemenangan 6-0 dicatatkan oleh Skuad Wanita Negara.
Esok Malaysia akan turun untuk aksi terakhir kejohanan iaitu penentuan kedudukan tempat ke-5 dan ke-6 bertemu Thailand, jam 11 malam waktu Malaysia.