Aksi pembukaan Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 yang berlangsung di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman, menyaksikan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas 0-9 kepada India.
Malaysia yang membariskan 12 pemain muda dan tidak mempunyai sebarang pengalaman bermain di pentas antarabangsa pada Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 terpaksa akur dengan kehebatan pasukan di ranking pertama Asia itu.
Pengendali Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim, telah menjangkakan India yang menduduki tempat keempat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan membuktikan kepada semua pasukan di Asia bahawa meraka adalah yang terbaik dan kejohanan kali ini India membariskan 16 pemain yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.
āDalam perlawanan hari ini India menunjukkan bahawa mereka berada di tahap yang tinggi terutama dalam sudut teknikal, skil bermain hoki serta tahap kecergasan.
āKekalahan ini pastinya menjadi satu pengalaman yang pahit untuk pemain terutamanya mereka yang tidak mempunyai sebarang caps antarabangsa dan kami barisan kejurulatihan memainkan peranan untuk menaikkan semula motivasi mereka yang sememangnya kecewa.
āAksi hari ini juga menunjukkan bahawa banyak penambahbaikan pasukan perlu kami lakukan terutama dari sudut kecergasan pemain dan teknikal skil hoki untuk diserapkan dalam taktikal perlawanan.
āPerlawanan seterusnya bertemu Singapura kami akan menggunakan masa yang dimiliki esok untuk menjalani sesi latihan bagi memperbaiki kelemahan yang ada dan kami memandang serius perlawanan seterusnya.
āKami akan melihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan barisan kejurulatihan akan membuat analisi video untuk meneliti sudut yang perlu diperbaiki. Saya juga mengingatkan pemain bahawa kami masih belum terkeluar daripada kejohanan dan misi di sini masih belum berakhir,ā jelasnya.
India menjaringkan lapan gol padang dan satu gol daripada pukulan sudut penalti bermula dengan gol pembukaan Katariya Vandana pada minit kelapan dan berselang dua minit kemudian, Deep Grace Ekka menyempurnakan gol pukulan sudut penalti.
Sebelum aksi separuh masa tamat, Navneet Kaur mencatat nama selaku penjaring dengan dua gol padang masing-masing pada minit ke-15 dan 27.
Empat minit separuh masa kedua bermula, Katariya Vandana menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Lalremsiami mencatat nama selaku penjaring gol keenam buat India pada minit ke-38.
Berselang dua minit kemudian, kali ini tindakan susulan daripada Monika menyudahkan percubaan rakan sepasukannya menghasilkan gol ketujuh India pada minit ke-40.
Dua gol daripada Sharmila Devi dalam suku terakhir perlawanan pada minit ke-46 dan 59 memuktamatkan kemenangan 9-0 India ke atas Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan.
Malaysia akan turun untuk aksi kedua bagi Kumpulan A bertemu Singapura pada Ahad (23 Januari) jam 9.00 malam waktu Malaysia.