Dua gol daripada pemain berpengalaman negara membantu Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan menewaskan Singapura, 2-0 dalam aksi kedua Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 yang berlangsung hari ini di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman.

Tiga mata itu disumbangkan oleh Fatin Shafika Mahd Sukri dan Nuraini Abdul Rashid hasil gol pukulan sudut penalti dan penjaring gol pembukaan negara, Fatin Shafika dipilih selaku pemain terbaik perlawanan tersebut.

Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ketujuh berjaya menterjemahkannya kepada jaringan apabila Fatin Shafika bijak untuk menyudahkan flik yang dilakukan oleh kapten negara, Juliani Mohamad Din.

Berselang seminit kemudian, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Nuraini Abdul Rashid untuk terus meletakkan Malaysia selesa dihadapan menerusi flik terusnya yang berjaya menewaskan penjaga gol Singapura, Liu Yu Tong.

Aksi suku kedua menyaksikan pasukan negara memiliki peluang untuk terus melebarkan jurang jaringan menerusi dua lagi kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-16 dan 24 namun sayangnya kelebihan tersebut dinafikan oleh penjaga gol Singapura.

Siti Zulaikha Husain hampir mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-41 menerusi pukulan terus ke gawang lawan namun percubaan tersebut berjaya dihalang oleh penjaga gol kedua Singapura, Felissa Lai.

Usaha akhir skuad negara untuk terus menambah jaringan dengan menggandakan asakan menyaksikan mereka dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti pada minti ke-51 dan 54 namun kebuntuan untuk menterjemahkannya kepada jaringan menyaksikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia akan turun untuk aksi terakhir bagi Kumpulan A bertemu Jepun pada Isnin (24 Januari) jam 9.00 malam waktu Malaysia.

 

- Advertisement -