Â
Sabah mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke final saingan hoki Divisyen 1 Piala Ketua Polis Negara 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, hari ini.
Mohd Firdaus Abd Ghani muncul wira Sabah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi gol padang minit ke-10 sekali gus menewaskan Briged Tenggara 1-0 dalam aksi separuh akhir.
Sabah akan bertemu Terengganu dalam aksi final, esok.
Terengganu mengesahkan tempat ke final selepas mencatat kemenangan ke atas Briged Utara 3-0 hasil dua gol pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azrul Hisham pada minit ke-37 dan Muhamad Ashraf Abdul Halim minit ke-43.
Johari Samsudin melengkapkan kemenangan Terengganu apabila meledak gol ketiga minit ke-46.
Sebagai rekod, ini adalah penampilan pertama Sabah dalam saingan Piala Ketua Polis Negara sejak kali terakhir menyertai kejohanan berkenaan pada 1996.
Pengelola pasukan Sabah, Supt Nor Azizulkifli Mansor berkata: “Ia permulaan yang baharu buat pasukan hoki polis Sabah. Kami datang ke sini dengan sasaran untuk layak ke kelompok empat terbaik tetapi pemain bersemangat untuk mara ke final dan ia menjadi kenyataan.
“Jika kami menang dalam aksi final, ia adalah bonus untuk kami. Kami bermain dengan tekanan yang tinggi pada suku ketiga dan keempat tetapi berjaya mengekalkan momentum kami. Ia perlawanan yang sukar tetapi akhirnya berbaloi,” katanya.
Sementara itu, pemain paling senior Terengganu, Sarjan Othman Awang, berkata dia teruja untuk beraksi di final selepas kerja keras yang ditunjukkan seluruh pasukan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kami bermain dengan baik dan kekal konsisten sejak hari pertama kejohanan dan saya percaya kemenangan hari ini membawa kami selangkah lagi untuk meraih gelaran juara. Tahniah kepada Sabah kerana mara ke final selepas kembali membuat penampilan dalam kejohanan ini.
“Kami akan mengambil pendekatan berhati-hati apabila bertemu Sabah kerana mereka memiliki pemain berpengalaman yang boleh mengubah perlawanan. Kami tidak boleh terlalu yakin kerana apa saja boleh berlaku,” katanya.
Briged Tenggara dan Briged Utara akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat esok.