Juara bertahan, Bukit Aman membuktikan status mereka apabila melakar kemenangan sulung dalam saingan hoki Liga Perdana Piala Ketua Polis Negara 2018 di Stadium Wisma Belia di Kuantan, Pahang, hari ini.
Dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan, Bukit Aman nyata terlalu unggul apabila menewaskan Perak 5-1 biarpun lawan pada awalnya berjaya memberikan tentangan sengit.
Bukit Aman di undi dalam Kumpulan A bersama Perak, Briged Tengah dan Johor manakala Johor, Selangor, Pahang, Kuala Lumpur dan Pulapol KL dalam Kumpulan B.
Pengurus pasukan, Insp Mohd Rizaudden Abdullah berkata: “Kami bermain dengan corak permainan mudah hari ini dan tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada pemain dalam perlawanan menentang Perak.
“Menang dengan keputusan 5-1 adalah permulaan yang baik. Saya percaya pemain akan mempamerkan prestasi yang lebih baik terutama apabila berdepan lawan yang lebih sukar,” katanya.
Muhamad Firdaus Abdul Mutalib meletakkan Bukit Aman di depan seawal minit ke-5 menerusi gol padang tetapi Perak berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Masaddy Jabin dua minit kemudian.
Bagaimanapun, Bukit Aman nyata terlalu unggul apabila meledak empat lagi gol pada baki tiga suku permainan selepas itu.
Bekas pemain remaja kebangsaan, Maxhan Christi menjaringkan dua gol pada mini ke-8 dan 26 manakala Azreen Rizal dan Mohammad Nazrin masing-masing meledak satu gol minit ke-37 dan 46 bagi menambah derita Perak.
Sementara itu, Briged Tengah turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Johor 2-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar perlawanan.
“Ia perlawanan yang sukar menentang Johor dan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti,” kata pengurus Briged Tengah, Mohd Faizal Razali.
“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang dan kami sudah bersedia untuk berdepan perlawanan yang lebih sukar selepas ini.”
Johor mendahului perlawanan pada minit ke-13 menerusi gol pukulan sudut penalti yang disudahkan Mohd Zairil Yahya sebelum kapten Briged Tengah, Mohd Razali Mohd Zulkipli menyamakan kedudukan pada minit ke-33 juga pukulan sudut penalti.
Briged Tengah akan bertemu Perak pada Ahad dan Bukit Aman keesokan harinya.
Dalam saingan Kumpulan B, Pulapol KL yang diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan menewaskan Kuala Lumpur 5-1 manakala Selangor mencatat kemenangan ke atas Pahang 7-2.