Tempoh rehat selama hampir sebulan dipergunakan sepenuhnya ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmur dalam memperbaiki aspek ketumpulan penyudah yang dikesan menjadi kelemahan utama pasukan dalam saingan TM Piala Malaysia 2021.
Selepas melalui dua perlawanan persahabatan berdepan Sri Pahang FC dan Terengganu FC, Nazrulerwan berasakan kelemahan itu serba sedikit sudah dapat diperbaiki dan mengharapkan rentak yang sama mampu diteruskan pada saingan sebenar TM Piala Malaysia yang kembali bersambung pada minggu hadapan.
Biarpun tewas dalam kedua-dua perlawanan tersebut, Nazrulerwan berasakan peningkatan ketara yang dipamerkan majoriti pemain muda selain tampak semakin selesa dalam mengawal tempo permainan.
“ Perlawanan pertama dengan Kedah, kami melepaskan banyak peluang untuk menjaringkan gol biarpun dari segi soal kualiti pemain, memang tidak dinafikan jurang mereka sangat berbeza dengan Kelantan United.
“ Apabila anda bertemu pasukan berpengalaman dan tidak menjaringkan gol terlebih dahulu, anda akan dihukum atas kegagalan sendiri.
“ Begitu juga semasa dengan Negeri Sembilan, saya yakin kita boleh meraih tiga mata tetapi sekali lagi kita menerima padah apabil tidak menjaringkan gol dan lawan berjaya mendapat satu jaringan yang cukup mudah walaupun dari segi permainan sebenarnya agak seimbang.
“ Jadi dalam tempoh rehat selama tiga minggu ini, saya rasa ini sesuatu yang bagus kerana boleh beri tumpuan bagaimana pemain saya boleh menjaringkan gol terutama di posisi penyerang.
“ Dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini, saya nampak pemain sudah menemui rentak yang diharapkan terutama ketika berdepan Terengganu apabila berjaya mendominasi permainan selain berjaya menjaringkan satu gol, ” katanya.
Kelantan United buat masa ini menjadi pasukan tunggal yang belum menjaringkan gol dalam dua perlawanan TM Piala Malaysia apabila tewas 0-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC selain 0-1 di tangan Negeri Sembilan FC.
Berdepan Kedah terutamanya mereka dihidangkan deretan peluang terutama penyerang import, Gassama Alfusainey tetapi dihampakan oleh sentuhan terakhir yang gagal menewaskan penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Skuad kendalian Nazrulerwan ini bakal bertemu Melaka United pada perlawanan ketiga Kumpulan C TM Piala Malaysia 2021 yang dijadualkan di Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober.
Sementara itu, Nazrulerwan berkata, dua pemain berpengalaman, Mohd. Badhri Radzi dan Fitri Omar dijangka akan memperkuatkan kembali cabaran Kelantan United selepas berehat panjang selain pemain import dari Jepun, Shuhei Fukai.
“ Fitri Omar telah diturunkan berdepan Sri Pahang dan jelas pengalamannya banyak membantu pasukan terutama dalam menangani sebarang tekanan di atas padang.
“ Manakala Piya (Badhri) saya akan turunkan dalam beberapa perlawanan persahabatan kerana dia belum bersedia sepenuhnya dan masih memerlukan masa untuk meningkatkan tahap kecergasan.
“ Fukai yang mengalami keretakan di sebelah bahagian matanya semasa berdepan Negeri Sembilan, akan jalani latihan penuh dengan pasukan pada minggu ini, ” katanya.