Dua juara bakal berentap di pentas final 100PLUS Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 tahun bagi menentukan siapakah juara edisi 2019.
Tumpuan sudah tentu terarah kepada SMK Taman Bukit Indah yang merupakan juara bertahan dan memasang impian untuk mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua berturut turut.
Pengendalinya, Javi Jorda tidak mahu terlalu memikir tentang pasukan lawan, SMK Putera kerana tumpuan adalah mempersiapkan pasukannya sebelum sepak mula pada Sabtu.
“Tidak banyak yang boleh kami lakukan sebelum perlawanan final. Kami hanya memberi tumpuan terhadap proses pemulihan dan mengkaji tentang pihak lawan.
“Apa yang penting, kami mahu pemain pemain menikmati perlawanan akhir dan saingan pasti sengit seperti tahun lalu,”kata Javi Jorda
SMK Taman Bukit Indah mara ke final Piala Menteri Pendidikan B14 selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Zaaba dalam aksi separuh akhir Sabtu lalu.
Edisi lalu, SMK Taman Bukit Indah muncul juara Piala Menteri selepas menang 1-0 ke atas Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B13 di Gambang.
Dalam pada itu, lawan SMK Putera tampak turun dengan semangat juang yang tinggi untuk merealisasikan hasrat menjulang dua trofi musim ini.
Pasukan yang berpengkalan di Kota Bharu itu merupakan juara Piala Sumbangsih tahun ini selepas menang 3-0 ke atas SMK Zaaba.
Bagi pengendalinya, Hanapiah Awang, kemenangan ke atas SMK Zaaba dijadikan aspirasi dalam misi memburu trofi Piala Menteri pada Sabtu.
Malah, beliau punya ramuan tersendiri untuk mengekang pergerakan lawan sekaligus mengelak daripada bolos diawal permainan.
“Saya mahu pemain pemain fokus sepanjang perlawanan kerana sedikit kesilapan akan dihukum oleh pihak lawan.
“Jika kita berjaya melakar jaringan awal adalah satu suntikan semangat dan tonik terbaik untuk memenangi perlawanan,”kata Hanapiah Awang
SMK Putera melangkah ke final Piala Menteri 2019 selepas mengejutkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B14 di peringkat separuh akhir Sabtu lalu.
Aksi final Piala Menteri Pendidikan Malaysia B14 dijadual bermula pada jam 8.30 malam di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
Manakala satu lagi aksi final adalah bagi kategori Bawah 17 tahun yang menyaksikan pertembungan diantara SMK Taman Bukit Indah dan SMK Seksyen 11