Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh terus menjadi medan kayu pengukur pemain-pemain elit negara dengan negara luar dengan penganjurannya memasuki edisi keempat dan dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 17 Disember ini.

Kejohanan bawah umur tersebut menyaksikan perubahan format dengan hanya penglibatan dua puluh empat pasukan bagi tiga kategori.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, kesempatan ini harus diambil oleh pemain-pemain tempatan yang akan dibarisi oleh para pemain Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

“Cabaran negara akan digalas oleh pasukan-pasukan elit AMD. Oleh itu, para pemain seharusnya mengambil kesempatan ini untuk bersaing dengan pemain yang berpotensi menjadi bintang dunia dan ini merupakan peluang terbaik untuk mengukur kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

“Setiap kategori akan membariskan pasukan akademi dari Eropah dan Asia dan reputasi pasukan-pasukan tersebut dalam menghasilkan bintang dunia telah pun terbukti. Para pemain tempatan hanya perlu memberikan persembahan yang terbaik dan menggunakan pengalaman ini sebaiknya.”, ujar Safirul yang juga mengesahkan penglibatan pasukan akademi dari England, Arsenal FC yang terkenal dalam melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia.

Safirul turut mengakui bahawa pihak penganjur terpaksa menolak permintaan banyak pasukan yang ingin menyertai Piala SuperMokh pada tahun ini.

“Pihak penganjur menerima sambutan yang hangat daripada akademi-akademi di seluruh dunia untuk turut serta di dalam edisi kali ini. Malah, ada yang meminta pihak penganjur untuk mengaturkan perlawanan dan kejohanan untuk mereka.

“Walau bagaimanapun, kami terpaksa bersikap selektif dalam memilih pasukan yang bertanding bagi mengekalkan standard kejohanan dan memastikan saingan kompetitif buat pemain-pemain tempatan kerana itu merupakan objektif utama kejohanan.”

Juara bertahan kategori bawah 12 tahun, Sporting CP akan kembali membuat kemunculan bagi mempertahankan kejuaraan dan turut disertai wakil Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) yang akan mengisi dua slot peringkat umur bawah 13 dan 14 tahun. Akademi Sporting CP dikenali sebagai kilang melahirkan pemain-pemain Portugal bertaraf dunia seperti Cristiano Ronaldo, Luis Figo, Nani dan Ricardo Quaresma. PSG pula dikenali sebagai tapak permulaan kerjaya bagi pemain-pemain Perancis seperti Nicolas Anelka dan Mamadou Sakho.

Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran Piala SuperMokh pada tahun ini akan mengekalkan kategori bawah 12 tahun dan kategori bawah 14 tahun manakala  kategori bawah 13 tahun pula akan diperkenalkan semula. 8 pasukan akan berentap merebut kejuaraan bagi setiap kategori.

Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dipilih sebagai gelanggang pembukaan danperlawanan akhir kejohanan, disamping gelanggang-gelanggang lain iaitu Padang Sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam dan Akademi Maybank Bangi, melengkapkan senarai gelanggang kejohanan.

Perlawanan pertamaketiga-tiga kategori akan bermula pada Rabu (13 Disember) dan akan diakhiri dengan perlawanan akhir pada Ahad (17 Disember).

 

PIALA SUPERMOKH 2017 (B12, B13& B14 TAHUN) – 13 – 17 Disember 2017

Pasukan-pasukan yang bertanding:

Kategori Bawah-14 Tahun (generasi tahun kelahiran 2003)

1)         AMD Malaysia Cougars*

2)         AMD Malaysia Panthers*

3)         Paris Saint Germain (France)

4)         Arsenal FC (England)

5)         FC Mito Hollyhock (Japan)

6)         Gyeongnam FC (Korea Republic)

7)         Aspire Academy (Qatar)

8)         Foolad Sepahan (IR Iran)

 

Kategori Bawah 13 Tahun (generasi tahun kelahiran 2004)

1)         AMD Malaysia Cougars*

2)         AMD Malaysia Panthers*

3)         Paris Saint Germain (France)

4)         AZ Alkmaar (Holland)

5)         Urawa Red Diamonds (Japan)

6)         Gyeongnam FC (Korea Republic)

7)         Buriram United (Thailand)

8)         FF South Australia (Australia)

 

Kategori Bawah-12 Tahun (generasi tahun kelahiran 2005)

1)         AMD Malaysia Cougars*

2)         AMD Malaysia Panthers*

3)         HNK Hajduk (Croatia)

4)         Sporting CP (Portugal)

5)         Kashima Antlers (Japan)

6)         JJ Football Academy (Korea Republic)

7)         Aspire Academy (Qatar)

8)         FF South Australia (Australia)

 

*AMD Malaysia bermaksud Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang menghimpunkan pemain-pemain elit negara berumur 13-17 tahun bertempat di Gambang, Pahang.

  

‘Venue’ Kejohanan

  1. Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
  2. Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur
  3. Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam
  4. Akademi Maybank, Bangi

Mengenai Piala SuperMokh

Piala SuperMokh buat julung kalinya dianjurkan pada tahun 2014 sebagai satu penghormatan kepada lagenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan bertindak sebagai penanda aras bagi Progam Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dalam mengukur keberkesanan dan pelaksanaan program dengan negara-negara di rantau ASEAN, Asia dan juga Eropah. Piala SuperMokh merupakan pelengkap kalendar PPBN bagi setiap tahun dan menghimpunkan pasukan-pasukan akademi terbaik dari Asia dan Eropah, bertanding menentang pasukan-pasukan tempatan.

Pemenang-pemenang edisi lepas:

2014 (Kategori Bawah 12 Tahun): Pohang Steelers (Korea Selatan)

2015 (Kategori Bawah 12 Tahun): Malaysia Cougars (Malaysia)

          (Kategori Bawah 13 Tahun): Manchester City FC (England)

 

2016 (Kategori Bawah 12 Tahun): Sporting CP (Portugal)

          (Kategori Bawah 14 Tahun): Malaysia Cougars (Malaysia)

- Advertisement -