soh-chin-aun

Oleh Muhammad Aiman

Bekas kapten pasukan kebangsaan, Dato’ Soh Chin Aun menggesa ketua jurulatih Dato’ Ong Kim Swee supaya membentuk sebuah pasukan mantap serta berdaya saing di kejohanan-kejohanan besar, dan bukannya memberi tumpuan kepada cabaran Piala AFF Suzuki 2016.

Menurut Chin Aun, Piala AFF Suzuki tidak perlu dijadikan sebagai satu keutamaan kerana Malaysia pada hakikatnya perlu memandang jauh ke depan dan bukannya menjadikan piala rebutan negara serantau itu sebagai sasaran saban tahun.

“Ambil masa dan bentuklah sebuah pasukan yang benar-benar mantap dan digeruni, Mana halatuju bolasepak kita jika setiap tahun sasaran kita adalah Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki. Kita perlu ada matlamat, matlamat untuk melangkah jauh, mencabar negara-negara Asia lain. Kalau bentuk pasukan dengan sasaran Piala Suzuki, kita tidak ke mana,” katanya.

Beliau yang pernah membantu pasukan negara layak ke dua temasya Sukan Olimpik iaitu di Munich 1972 dan Moscow 1980 turut menyatakan pandangannya mengenai empat pemain tonggak dari Johor Darul Takzim iaitu Safiq Rahim, S.Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Aidil Zafuan Abd Radzak yang bersara sebelum ini.

“Persaraan mereka adalah hak mereka, terpulang kepada mereka dan ia adalah keputusan mereka. Sebagai jurulatih, kita perlu bersedia dengan apa jua situasi, dan gunakan pemain yang ada. Pada saya, lupakan sahaja khidmat mereka, teruskan tanpa mereka. Beri tumpuan kepada pendedahan pemain muda,” kata Chin Aun.

Setelah kekalahan memalukan 0-3 kepada Indonesia, Kim Swee mengakui cukup terasa akan ketiadaan empat pemain itu malah tanpa segan meminta mereka kembali menyarung jersi negara kerana dia sukar untuk membentuk keserasian di antara pemain baru dalam tempoh singkat. 

Justeru, tambah Chin Aun, “Cari pemain yang lebih muda, memang akan ambil masa untuk bentuk pasukan. Pemain senior mungkin berpengalaman, tetapi tidak cukup stamina dan kepantasan. Manakala pemain muda ada tenaga, cuma kita memerlukan masa untuk membentuk mereka.”

Chin Aun ditemui pada Majlis Pelancaran Dokumentari Harimau Malaya 1980 terbitan Astro yang turut dihadiri beberapa anggota skuad negara ketika itu antaranya jurulatih Karl Heinz Weigang, James Wong, Dato’ Santokh Singh, Hassan Sani dan Bakri Ibni.

Dokumentari itu yang mengiktiraf kejayaan Harimau Malaya atau ‘Dream Team’ layak ke Sukan Olimpik Moscow akan disiarkan pada 16 September bersempena Hari Malaysia.   

- Advertisement -