Aksi skuad muda negara pada kempen Piala Thomas 2020 berakhir di peringkat separuh akhir hari ini telah mencetuskan harapan bahawa masa depan badminton negara adalah cerah.
Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata barisan pemain muda negara telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan sudah mencuba sedaya upaya sebelum tewas kepada Indonesia 0-3.
Bagaimanapun, beliau mengakui jurang antara pemain negara muda dan pemain 10 terbaik dunia masih terlalu jauh.
“Penampilan terbaik kami masih tidak bagus untuk menang hari ini…paling baik kita ada peluang menang dua perlawanan tetapi terpaksa akur kepada Indonesia. Saya juga melihat, dari cara mereka bermain, kita ada peluang untuk mencari tiga mata, tetapi tidak berjaya.
“Kita akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi pemain kita supaya mampu hadir dengan skuad yang lebih mencabar dan bersedia pada edisi akan datang,” katanya.
Choong Hann berharap kejohanan itu menjadi pengalaman yang sangat berharga bagi pemain senior seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta pemain muda seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Cheam June Wei serta gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
“Selepas pemain telah merasai tahap tekanan dan cabaran yang berat dalam kejohanan berpasukan, mereka diharap meningkatkan persediaan dari segi mental dan fizikal supaya dapat bersedia lebih daripada 100 peratus pada masa akan datang,” katanya
Pada aksi suku akhir, Malaysia bermula langkah kiri apabila Zii Jia tewas 15-21, 17-21 kepada pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah 17-21, 16-21, 15-21 kepada pasukan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.
Juara 13 kali Indonesia mengesahkan kemenangan menerusi Jonatan Christie yang menewaskan Ng Tze Yong 14-21, 21-19, 21-16, dan bakal bertemu Denmark esok dalam misi menamatkan kemarau pingat selepas kali terakhir muncul juara pada 2002.
Sementara itu, Zii Jia berkata Ginting telah mempamerkan aksi yang lebih agresif, lebih pantas dan berjaya mengawal permainan dengan baik.
“Dia beraksi dengan lebih fokus dan agresif. Secara keseluruhan, saya rasa skuad kita, termasuk saya masih belum cukup mantap dan perlu lebih berusaha.
“Kita memang nampak pemain muda kita menunjukkan bakat yang mampu menjadi pemain utama pada masa depan,”katanya.
BERNAMA