Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penganjuran kejohanan kompetitif antarabangsa pertama ketika global sedang berperang dengan Covid 19, Piala Thomas dan Piala Uber 2020.
BWF sebelum ini mengesahkan kejohanan itu akan diteruskan berdasarkan perancangan yang telah ditetapkan iaitu pada 3 hingga 11 Oktober depan di Aarhus, Denmark.
Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria akan mendapatkan perkembangan terkini daripada BWF esok dan pertemuan tersebut akan turut dihadiri bersama wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Perjumpaan itu juga berkemungkinan akan menjadi penentu status Malaysia samada akan mengekalkan keputusan untuk menghantar pasukan ke saingan Piala Thomas dan Piala Uber.
Kerancakan pasukan pasukan yang bertanding di Piala Thomas & Piala Uber 2020 tampak sedikit merudum selepas tiga negara; Taiwan, Australia dan Thailand sah menarik diri daripada menyertai kejohanan itu.
BWF menerusi kenyataan rasmi hari ini menjelaskan masalah pandemik Covid 19 selain masalah kecederaan pemain pemain utama dijadikan alasan utama.
Denmark kini mencatatkan 18356 kes positif Covid 19 termasuk 243 kes baru dan kekal dengan 628 kematian setakat ini.
Pada saingan Piala Thomas 2020, Thailand disenaraikan dalam Kumpulan D bersama Jepun, Korea Selatan dan Kanada manakala Piala Uber pula, Thailand disenaraikan dalam Kumpulan C bersama Denmark, Scotland dan Kanada.