SELEPAS lebih sedekad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakhiri kemarau kejuaraan mereka apabila menewaskan penyandang juara Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 pada perlawanan final penuh dramatik untuk menjulang Piala TNB 2022 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kejuaraan kelapan yang hadir selepas 12 tahun itu pastinya amat manis buat TNB dan pengendali Nor Saiful Zaini kerana berjaya menebus kekecewaan tewas dua kali dalam saingan Piala Sumbangsih dan Liga musim ini di tangan THT.

Bagi THT, hasrat melakar sejarah meraih kejayaan treble tidak kesampaian tapi pengendali Roslan Jamaluddin pasti masih boleh berbangga dengan kejayaan memenangi dua piala sekaligus dalam musim pertamanya sebagai jurulatih.

Perlawanan final berlangsung penuh dramatik apabila, ketika kedudukan terikat 2-2 dan menuju shootout, pemain pertahanan remaja kebangsaan Mohd Amirul Hamizan Azhar muncul wira apabila menjaringkan gol bersejarah TNB pada saat-saat akhir perlawanan di minit ke-60.

Hantaran tepat Muhammad Firhan Ashaari dari sebelah kiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohd Amirul untuk menolak masuk melepasi penjaga gawang THT untuk menjulang kejayaan TNB.

Sebelum itu, TNB memulakan permainan dengan corak permainan yang kemas dan berjaya mengekang gerakan-gerakan THT terutama dengan menguasai bahagian tengah.

Ketika THT masih tercari-cari rentak untuk menstabilkan keadaan, Syed Mohd Syafiq Cholan dan Muhammad Shahril Saabah meledak gol, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-18 dan ke-39 untuk meletakkan TNB mengemudi selesa 2-0 di depan.

Namun, selepas menguasai tiga suku pertama, THT bangkit dengan semangat baru pada suku keempat dan mengejutkan TNB dengan dua gol kilat dalam tempoh satu minit menerusi Marhan Jalil dan Ismail Abu pada minit ke-49 dan 50.

THT terus menekan untuk mengambil peluang dari kerapuhan benteng TNB tetapi gerakan kilat pada saat akhir dari sebelah kiri yang digerakkan oleh Muhammad Firhan, yang dinobat sebagai pemain terbaik final, nyata berhasil apabila Mohd Amirul menolak masuk dari jarak dekat untuk melunas misi balas dendam TNB terhadap THT.

Ketua pasukan TNB Syed Mohamad Cholan nyata gembira dengan kejayaan yang memang lama ditunggu warga TNB itu.

“Selepas agak selesa mendahului 2-0, pemain agak leka dan hilang fokus dan kami membayar kesilapan itu dengan dua gol.

Ketika itu, kami mengubah sedikit strategi permainan dan tidak berhasil dan segera mengubah kepada strategi asal. Dan langkah itu berhasil dengan gol kemenangan Amirul,” kata beliau.

Biarpun gagal menjulang Piala TNB, THT bagaimana pun masih boleh mendabik dada pulang dengan dua piala Sumbangsih dan Liga selain status penyerang Faizal Saari sebagai penjaring terbanyak musim ini dengan 25 gol.

Pada perlawanan tempat ketiga dan keempat, pasukan UiTM HA yang tampil buat kali pertama musim ini, berjaya meletakkan diri dalam kelompok tiga pasukan teratas apabila mengejutkan Maybank 3-2 menerusi shootout selepas kedudukan terikat 2-2 pada permainan sepenuh masa.

Dalam pada itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Dato Sri Subahan Kamal puas hati dengan penganjuran liga musim ini yang dianggap telah mencapai matlamat menampilkan perlawanan dan aksi yang hebat.

“Saya juga amat gembira kerana pasukan seperti UiTM yang tampil buat kali pertama berjaya membuktikan kemapuan untuk meraih kedudukan ketiga Piala TNB.

Ini menunjukkan kita berada di landasan yang baik untuk terus mengangkat martabat hoki negara. InsyaAllah tahun depan, lebih banyak pasukan akan beraksi,” kata Dato’ Sri Subahan.

SENARAI PENGHARGAAN 2022:

TNB LIGA HOKI MALAYSIA (Premier)
Juara: THT
Naib Juara: TNB
Fair Play: Nurinsafi Sporting
Penjaring Terbanyak: Faizal Saari (THT) 25 gol
Pemain Terbaik Final: Mohamad Firhan Ashaari

PIALA TNB 2022
Juara: TNB
Naib Juara: THT (RM30k)
Ke-3: UITM HA

 

- Advertisement -