MAYBANK mengejutkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melangkah ke aksi penentuan separuh akhir kedua dengan kelebihan selepas menang tipis 2-1 ke atas naib juara itu pada separuh akhir pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
Terengganu Hockey Team (THT) pula diberikan saingan sengit oleh UiTM HA yang berjaya mengikat penyandang juara itu 1-1 pada satu lagi aksi separuh akhir pertama.
Muhammad Najmi Farizal Jazlan muncul wira yang mengemudi kemenangan Maybank dengan membolosi gawang TNB sebanyak dua kali, kedua-duanya menerusi gerakan sudut penalti.
Selepas buntu pada suku pertama, Maybank mendapat peluang menerusi peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-24 yang tidak disia-siakan oleh Muhammad Najmi.
Begitu pun, skuad TNB kendalian Nor Saiful Zaini bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azhar selepas tujuh minit separuh masa kedua bermula, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Ketika perlawanan seakan menuju penamat dengan keputusan seri, Maybank menerapkan strategi serangan balas pantas yang seringkali memerangkap TNB. Muhammad Najmi, penjaring kedua terbanyak (12 gol) Maybank selepas Razie Rahim, berjaya memastikan kemenangan Maybank menerusi ledakan minit ke-46.
Bagi jurulatih Maybank Azrul Effendi Bistamam, sekalipun lega, kemenangan itu belum boleh dijadikan ukuran berjaya pada separuh akhir kedua Isnin ini. “Ini tidak bermakna kita sudah boleh menarik nafas lega, malah separuh akhir kedua nanti pasti lebih sengit.
Hari ini, pemain tunjukkan sikap dan corak permainan positif mengikut strategi yang dirancang, bermain secara counter attack, ambil kesempatan dari pukulan sudut penalti dan berjaya mengekang pemain-pemain kebangsaan TNB,” kata beliau.
Penjaring dua gol Maybank Muhammad Najmi pula menganggap tugas Maybank belum selesai kerana saingan separuh akhir kedua dijangka lebih sukar. “Kami kena kerja kuat, berdisiplin dan ikut strategi jurulatih selain memastikan pertahanan pukulan sudut penalti kami ampuh,” kata beliau.
Penolong jurulatih TNB, Muhammad Azammi Adabi pula mengakui pemain beliau bermula agak perlahan pada suku pertama dan terpaksa akur kerana gagal bertindak aggresif. “Tempo kami agak tergangggu kerana hujan, pemain agak leka sehingga Maybank mendapat enam pukulan sudut penalti.
“Namun, masih ada harapan, permainan belum tamat dan kami akan rangka strategi baru, kembali dengan struktur permainan lebih tersusun Isnin ini,”kata Muhammad Azammi.
Dalam pada itu, separuh akhir kedua antara THT dan UiTM juga pasti menarik apabila kedua-dua terikat 1-1 hari ini.
Turun sebagai pasukan underdog di Stadium Hoki Batu Burok, UiTM terlebih dahulu membuka jaringan menerusi jaringan padang Muhammad Faris Ros Fadillah pada minit ke-8.
THT terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua sebelum dapat bertindak membolosi pertahanan UiTM dan menghasilkan gol penyamaan.
Penyerang kebangsaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook menghadirkan kelegaan buat kem THT apabila jaringan minit ke-35 memastikan penentuan sebenar pasukan yang layak ke final, ditentukan Isnin ini.
Jurulatih THT Roslan Jamaluddin mengakui pemainnya agak kepenatan dan tidak dapat fokus pada suku pertama. “Begitu pun, mereka bangkit semula pada tiga suku terakhir untuk memastikan saingan ke final nanti masih terbuka,” kata Roslan.
Roslan melahirkan keyakinan bahawa pemainnya akan bangkit semula pada separuh akhir kedua untuk memastikan tiket ke final, sekali gus merealisasikan impian pasukan meraih kejayaan treble musim ini.
Bagi jurulatih UiTM, Shaiful Azli Abd Rahman, pelbagai kemungkinan menanti pada separuh akhir kedua. “Masih ada 60 minit permainan, kami akan cuba sekali lagi melakukan kejutan.
“Saya pasti, THT akan menyerang berhabis-habisan tetapi sebagai pasukan underdog, kami menunggu dan bersedia berdepan apa juga kemungkinan,” kata beliau.
Separuh Akhir 2: Isnin, 28 Mac
Maybank mln TNB (5 ptg) NHS 1
UiTM mln THT (5 ptg) NHS 2