JARINGAN pemain kebangsaan Siti Nur Arfah Mohd Nor membantu KPT-UNITEN Thunderbolts menjulang kejuaraan hatrik Piala Vivian May Soars apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada final di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil.

Berbekal rekod cemerlang tanpa kalah dalam saingan liga, Negeri Sembilan turun dengan label pilihan pada tetapi KPT Uniten Thunderbolts nyata berjaya menyerap tekanan lawan untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.

Skuad kendalian Lailin Abu Hassan tampil dengan strategi kemas, berjaya mengekang gerakan dan tekanan lawan serta pantas dengan taktik serangan balas untuk memerangkap Negeri Sembilan.

Bagi KPT-Uniten, kejayaan itu jelas mengubat kekecewaan terlepas gelaran juara liga apabila muncul naib juara di belakang Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan pada awalnya menampakkan dominasi pada dua suku pertama apabila berjaya membuka jaringan menerusi bekas pemain PDRM, Liayana Aqilah Mohd Sepawi hasil dari gerakan sudut penalti pada minit ke-9.

Namun, KPT-Uniten Thunderbolts turun dengan permainan lebih kemas pada separuh masa kedua dengan gerakan lebih kemas dan tersusun, yang akhirnya menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-32 menerusi jaringan padang Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad.

Gol penting itu nyata menyemarakkan semangat KPT-Uniten Thunderbolts untuk terus mengasak Negeri Sembilan yang tampak tersentak dengan jaringan penyamaan lawan.

Penyerang kebangsaan Siti Nur Arfah Mohd Nor akhirnya berjaya merobek gawang Negeri Sembilan menerusi gerakan cantik dari tengah apabila dia melepaskan reverse hit dari bahagian atas kawasan D untuk membolosi penjaga gol Farah Ayuni Yahya pada minit ke-44.

Negeri Sembilan cuba bangkit tetapi gagal menembusi pertahanan KPT-Uniten yang kental untuk menidakkan impian Negeri Sembilan meraih kejuaraan berganda dan menjulang kejuaraan bersejarah hatrik KPT-Uniten Thunderbolts.

Penjaring gol kemenangan Siti Nur Arfah nyata gembira dengan kejayaan itu dan berkata semangat membara setiap pemain dan strategi jurulatih meyumbang kejayaan mereka.

“Memang kami berhabis-habisan malam ini selepas kecewa terlepas juara liga. Semua pemain mengikut arahan juriulatih, dan kami amat gembira kerana berjaya catat sejarah kemenangan hatrik,” kata Siti Nor Arfah.

Penolong Jurulatih KPT Uniten Ikmal Abdul Jabar berkata: “Kami sentiasa yakin dengan kemampuan sendiri dan hari ini, percaturan untuk terus aggresif dan membuatkan pemain lawan penat terutama di akhir permainan nyat amenjadi. Ini satu sejarah buat KPT-Uniten.”

Sementara itu, Sabah meraih kedudukan ketiga selepas menumpaskan National Development Team 2-0.

SENARAI PENGHARGAAN:

TNB LIGA HOKI KEBANGSAAN (Wanita)
Juara: Negeri Sembilan
Naib Juara: KPT-Uniten Thunderbolts

PIALA VIVIAN MAY SOARS 2022
Juara: KPT-Uniten Thunderbolts
Kedua: Negeri Sembilan
Ketiga: Sabah
Penjaring Terbanyak: Nuramirah Shakirah Zulkifli (Negeri Sembilan) 23 gol
Fairplay: KPT-UNITEN Thunderbolts
Pemain Terbaik Final: Siti Nur Arfah Mohd Nor (KPT-Uniten Thunderbolts)

- Advertisement -