KETUA pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi tidak mahu The Red Warriors (TRW) terbabas daripada landasan mempertahankan Piala FA, ketika melayan kunjungan PKNS FC dalam saingan suku akhir pertama pertandingan tersebut di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
TRW bakal berdepan pasukan berstatus kelab yang pernah menewaskannya 2-1 di laman sendiri dalam aksi Liga Super pada 29 Januari lalu, dan rekod itu nyata memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah yang dikendalikan Steve Darby.
Mohd Badhri yang lebih mesra dengan panggilan Piya berkata, saingan Piala FA adalah satu-satunya peluang kepada TRW untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini setelah berjaya mara ke suku akhir.
Bagaimanapun, melihat kepada ancaman PKNS yang dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan, Piya tahu TRW perlu berhati-hati supaya tidak terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraan.
“Kita pernah kalah kepada PKNS tapi itu di dalam Liga Super. Kita masih berada di laluan untuk mempertahankan Piala FA dan saya berharap kita dapat mencari bekalan selesa untuk perlawanan kedua.
“Jangan pandang mudah keupayaan PKNS kerana mereka sudah membuktikan kemampuan untuk menewaskan kita di Kota Baru. Saya harap Kelantan tidak kalah kali kedua di gelanggang sendiri,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Badhri juga tegas tidak mahu membenarkan PKNS pulang dengan sebarang jaringan, sekaligus meringankan bebanan gergasi pantai timur itu dalam aksi timbal balik 18 Februari nanti.
Tambahnya, TRW perlu menang tanpa dibolosi selain mengharapkan dua penyerang import, Mohamed Ghaddar dan Francis Forkey Doe dapat merobek gawang PKNS setiap kali mendapat peluang.
“Kita tidak boleh beri PKNS sebarang jaringan jika mahu beraksi tanpa tekanan dalam perlawanan kedua. Kita perlu menang dan tidak boleh seri apatah lagi tewas.
“Saya sendiri belum menjaringkan gol musim ini dan saya perlu memberikan persembahan terbaik untuk menamatkan kemarau jaringan.”
Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my