Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menolak dakwaan pelumba Terengganu Cycling (TSG), Mohd Adiq Hussainie Othman kononnya badan induk tersebut berjanji akan memberi elaun bulanan rentetan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA 2015 di Singapura.
Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan adalah mustahil untuk PKBM membuat janji seumpama itu kepada pelumba yang menang pingat emas di Sukan SEA 2015 kerana tanggungjawab tersebut adalah dalam bidang kuasa Majlis Sukan Negara (MSN).
“Sebenarnya, elaun yang dimaksudkan atau dituntut mereka adalah RM1,500 daripada MSN (Majlis Sukan Negara) sekira menang pingat di peringkat Sukan SEA. Saya berpendapat memang ini hak mereka. Untuk itu, PKBM telah berusaha dengan penuh keikhlasan dengan membawa perkara ini dalam mesyuarat JKK bersama MSN bertarikh 27 Ogos 2015. Bagaimanapun, kami telah dimaklumkan bahawa semua pelumba yang menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SEA 2015 tidak layak terima elaun bulan daripada MSN. Salah satu alasan yang diberikan MSN adalah kerana mereka termasuk Adiq sendiri tidak berada di dalam program latihan sepenuh bersama pasukan kebangsaan. Dan perlu diingatkan bahawa sejak 2014, memang tiada istilah latihan sepenuh masa buat skuad lebuh raya Malaysia,” katanya.
Kelmarin, Adiq Hussaine membuat dakwaan kononnya PKBM melupakan janjinya untuk membayar elaun bulanan rentetan kejayaan memenangi dua pingat emas pada Sukan Sea 2015 di Singapura.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan bahawa pihaknya ketika ini tidak mengadakan kem latihan pusat bersama atau latihan sepenuh masa.
“Sebaliknya latihan pusat sepenuh masa bagi pelumba kebangsaan bagi Program Kita Juara 2017 hanya akan bermula pada September 2016. Andainya nama Adiq atau mana-mana pelumba TSG lain yang menang di Singapura disenaraikan dalam latihan sepenuh masa bersama pasukan kebangsaan, mereka layak menerima elaun RM1,500 atau mengikut jumlah yang ditetapkan oleh MSN,” katanya.
Abu Samah turut menafikan dakwaan Adiq kononnya beliau ada berjanji sebanyak dua termasuk sebelum perlumbaan di Singapura dan ketika majlis SHAKAM (Skim Kemenangan Hadiah Sukan).Â
“Sekali lagi biar saya jelaskan bahawa saya ingatkan pelumba betapa adanya skim elaun bulanan yang diberikan kepada pemenang pingat emas Sukan Sea. Apa yang berlaku kemudian adalah saya mengajak mereka makan malam selepas berakhirnya perlumbaan di Singapura. Dalam majlis itu sekali lagi saya katakan ada elaun bulanan untuk pemenang pingat emas Sukan. Benda ini adalah hakikat. Saya rasa semua pelumba ketika itu termasuk Adiq faham apa yang hendak saya sampai. Skim elaun atlit oleh MSN telah diperkenalkan sejak 2007 lagi. Tapi bukan PKBM yang akan bayar elaun tersebut. Dan saya telah pun bawa perkara ini kepada MSN. PKBM telah alami banyak peristiwa suka duka sepanjang 2014 dan 2015. Jadi, rumusannya adalah mustahil sama sekali buat PKBM membayar jumlah elaun bulanan kepada pemenang pingat emas Sukan Sea 2015. Ini adalah urusan MSN,” katanya.Â
Beliau turut mempertikaikan dakwaan Adiq kononnya pengurus pasukan, Omar Saad menjadi saksi kononnya beliau ada membuat janji kepada Adiq atau mana-mana pelumba TSG.
“Untuk pengetahuan semua, saya tiada pada majlis penyampaian hadiah SHAKAM kerana tidak menerima undangan. Jadi jelas sekali Adiq tersilap fakta dalam hal ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Abu Samah turut mempertikaikan kredibiliti Adiq yang sering mengemukakan semua masalah kepada pihak media, sedang skuad pelumba TSG sudah pun berjanji kepada pihak pengurusan mereka bahawa hanya saluran perbincangan bersama PKBM wajib diguna pakai.
“Saya telah telefon Ketua Pegawai Eksekutif TSG (Farhan Abdul Wahab) untuk bertanyakan perkara ini. Jadi, saya harap semua pelumba TSG harus gunakan saluran perbincangan bersama PKBM sebelum membuat kenyataan akhbar,” katanya.