Pasukan 100PLUS Liga Premier, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC sudah bersedia untuk meneruskan langkahan ‘giant-killer’ mereka dalam saingan Piala Malaysia apabila turun melayani kunjungan Felda United di Stadium Shah Alam pada Ahad.
Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu membawa bekalan dua gol hasil kemenangan 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka minggu lalu.
Justeru pengendali itu menuntut aksi terbaik dari barisan pemainnya bagi mengekalkan momentum kemenangan seterusnya mengesahkan tempat di separuh akhir.
“Kita sedang meniti prestasi yang baik dalam kedua-dua saingan Piala Malaysia dan Liga Premier, keyakinan dan motivasi pemain di tahap terbaik. Apapun kita perlu sedar Felda akan bermain lebih agresif bagi memburu jaringan, mereka ibarat singa terluka jadi adalah penting pemain kekal fokus.
“Kami tidak boleh selesa dengan kelebihan dua gol ini, Felda mempunyai himpunan pemain bagus dan jurulatih yang merupakan antara terbaik dalam Liga Super. Jadi sedikit kelekaan akan membawa padah. Saya sentiasa ingatkan pemain saya tentang perkara itu dan mahu mereka sudahi tanggungjawab dengan baik,” ujar Abu Bakar.
Abu Bakar turut menjelaskan pertukaran venue perlawanan dari Stadium Ipoh ke Shah Alam walaupun sedikit mengecewakan kerana kehilangan sokongon peminat tempatan namun ia tetap tidak merencatkan kelancaran persiapan pasukannya.
Andai berjaya meneruskan kemaraan, ia juga akan menyaksikan Perak buat kali pertamanya mempunyai wakil di separuh akhir selepas 10 tahun.
Kali terakhir sebuah pasukan negeri itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia adalah pada 2007 apabila Perak mara dengan menyingkirkan Perlis dan menamatkan saingan musim itu selaku naib juara.
Untuk rekod, PKNP mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan A dengan mengatasi dua pasukan Liga Super iaitu Pahang dan T-Team serta seteru Liga Premier, Negeri Sembilan.
Mereka juga ketika ini dalam landasan untuk memburu slot beraksi di Liga Super apabila menduduki tempat ketiga dengan 40 mata, dipisahkan empat mata dengan dua pasukan teratas Kuala Lumpur dan Terengganu yang mengumpul 44 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN