Oleh Muhammad Aiman
Uitm FC melakar kemenangan penting 2-1 ke atas Sabah untuk terus kekal dalam saingan 100 PLUS Liga Premier musim depan namun keputusan itu membawa malang buat Angkatan Tentera Malaysia yang akur tersingkir ke Liga FAM.
ATM terdahulu tewas kepada Perlis 2-3 dalam aksi yang berlangsung pada Jumaat petang di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, menyaksikan mereka kekal di tempat ke-10 dengan 15 mata sekaligus mengharapkan pasukan tangga kesebelas Uitm gagal mengutip mata di Likas.
Sebaliknya, Uitm yang sedar mereka tiada pilihan selain mencatat kemenangan mengerah sehabis kudrat untuk meraih tiga mata dan melonjak memintas kedudukan ATM dengan 17 mata pada saat akhir.
Ini bermakna ATM mengiringi Sime Darby tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan – Sime Darby sudahpun awal-awal lagi tersingkir setelah menamatkan saingan 100 Plus Liga Premier di kedudukan tercorot dengan hanya 11 mata dan mereka akan menutup aksi musim ini dengan menentang Melaka pada Sabtu.
Dalam aksi di Temerloh, kesemua jaringan terhasil dalam tempoh 20 minit di separuh masa kedua dengan Perlis mendahului 2-0 menerusi dua jaringan Charles Chad Souza pada minit ke-61 dan 64 sebelum ATM merapatkan kedudukan pada minit ke-69 menerusi Hassan Abdulkarimov.
Mohamadou Sumareh kemudiannya menjaringkan gol ketiga Perlis pada minit ke-74 dan Venice Elphi meledak jaringan kedua ATM lima minit kemudian – kemenangan membolehkan Perlis melonjak ke tangga kelima dengan 34 mata.
Di Likas pula, Sabah mendahului menerusi jaringan pemain pertahanan Igor Cerina namun Uitm bangkit menyamakan kedudukan menerusi John Landa, sebelum Raslam Khan Abdul Rashid menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-76.
Finalis Piala FA, PKNS Selangor pula menepati jangkaan untuk layak ke Liga Super musim depan setelah menamatkan saingan di tempat kedua dengan 48 mata dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Selayang menerusi dua jaringan pemain import Juan Manuel Cobelli.
Johor Darul Takzim II pula menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan 43 mata setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang DRB Hicom di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Manakala dalam satu lagi perlawanan, jaringan Goran Jerkovic dan Sean Eugene Selvaraj membantu Negeri Sembilan menewaskan Kuantan FA 2-0 untuk melonjak ke kedudukan keempat dengan 35 mata.