PKNS FC merampas kedudukan pendahulu Liga Super dari Selangor setelah membenam Perak 2-0 di Stadium TLDM, Lumut menerusi dua jaringan penyerang import Rafael Ramazotti pada minit pertama dan 62.
Ia adalah gol ketiga pemain itu musim ini setelah turut menyumbang gol tunggal dalam kemenangan ke atas Pahang pada Rabu lalu. Kemenangan menyaksikan skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal kekal tidak tewas dalam tiga perlawanan yang telah diharungi manakala Perak kecundang buat kali pertama dan tergelincir ke tangga keenam.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, dua jaringan Andrew Lee Tuck serta satu masing-masing oleh kapten pasukan Tchetche Kipre dan Shahrul Aizad membolehkan Terengganu FC I menjinakkan pendahulu sebelum ini, Selangor dengan jaringan 4-1.
Ia adalah kemenangan pertama buat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim musim ini sekaligus melonjak ke tangga keempat dengan lima mata. Manakala Selangor bimbingan P.Maniam yang gagal dalam misi melakar kemenangan ketiga berturut-turut jatuh ke tangga ketiga.
Pahang pula melonjak ke tangga kelima liga setelah mencatat kemenangan pertama dengan membelasah Kelantan 3-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan. Gol buat skuad Dollah Salleh dijaringkan Francis Forkey Doe, Mohamadou Sumareh dan Norazam Azih.
Satu lagi aksi yang berlangsung antara Kuala Lumpur dan Johor Darul Takzim di Stadium Bolasepak Cheras terpaksa dihentikan pada minit ke-56 kerana padang ditakungi air dan ia akan disambung semula pada Ahad (11 Februari) jam 5 petang.
Kedudukan ketika perlawanan dihentikan adalah 1-0 memihak kepada skuad warga kota yang menjaringkan gol pada minit akhir separuh masa pertama menerusi Paolo Josue yang bijak melepasi perangkap ofsaid dan melepaskan rembatan menewaskan Haziq Nadzli di gawang JDT.
Komisioner perlawanan, Zahrul Nizam Salleh ketika menjelaskan mengenai penangguhan perlawanan berkata, “Walaupun tiada kilat atau petir, kita mengambil keputusan menangguhkan perlawanan kerana kondisi padang yang ditakungi air. Walaupun nampak biasa, tapi bila masuk padang, bola pun tak boleh bergolek, game jadi terencat, permainan jadi bermasalah.
“Yang paling kita takut, berlaku takel keras yang sebabkan kecederaan. Jadi, kita bagi masa kepada padang untuk berehat.”
Turut berlangsung pada Ahad adalah perlawanan antara PKNP FC menentang Kedah dan Negeri Sembilan menentang Melaka. – OLEH MUHAMMAD AIMAN