PELUANG memperolehi pukulan sudut penalti tunggal dipergunakan sepenuhnya juara bertahan PKS Uniten-KPT untuk membenam pasukan pilihan UniKL Ladies pada perlawanan akhir malam ini untuk menjulang Piala Vivian May Soars buat kali kedua berturut-turut.
Jaringan tunggal pemain muda Nurul Faezah Shafiqah Khalim pada minit ke-54 menerusi satu-satunya pukulan sudut penalti Uniten-KPT sepanjang 60 minit perlawanan sudah cukup buat skuad kendalian Lailin Abu Hassan menjulang Piala buat kali kedua berturut-turut.
Tambah manis, jaringan itu dihasilkan menerusi satu “set-piece” yang sememangnya telah dirancang oleh Lailin dan Nurul Faezah.
“Memang satu perlawanan yang sengit tetapi saya beritahu pemain kita perlukan hanya satu pukulan sudut penalti untuk jaringkan gol. Dan benar sekali, Nurul Faezah menghasilkan gol dari gerakan yang memang telah kita rancang sebelum ini,” kata Lailin selepas perlawanan.
Uniten KPT nyata bermain penuh disiplin dan mengikut perancangan untuk mengekang kemaraan UniKL Ladies yang melakukan serangan bertali arus terutamanya pada suku keempat.
Selepas buntu tanpa jaringan sehingga suku ketiga, UniKL nyata garang memburu gol pada 15 minit terakhir tetapi Uniten-KPT berjaya menyerap segala tekanan dengan barisan pertahanan yang kemas. Â Â
Paling ketara, peluang meraih lima pukulan sudut penalti gagal disempurnakan UniKL Ladies untuk memecah kebuntuan dan menjadi antara penyumbang kekalahan.
Selepas ditekan hebat pada suku keempat, PKS Uniten berjaya memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-54. Nurul Faezah Shafiqah Khalim berjaya menyempurnakan tugas dengan sempurna menerusi pukulan kilas untuk membolosi gol UniKL Ladies.
Kejayaan itu hadir sebagai penebus kekalahan buat -KPT yang sebelum ini tewas 0-3 di tangan UniKL Ladies dalam saingan liga.
Jurulatih, Lailin nyata gembira dengan corak permainan yang disifatkannya terhasil dari komitmen tinggi pemain. “Selepas tewas dalam Liga, kami melakukan banyak persiapan untuk membetulkan kelemahan termasuk analisis video dan Alhamdullilah, segala usha berhasil,” kata Lailin.
Penjaring gol kemenangan Nurul Faezah, 21, berkata kesungguhan dalam persiapan menjelang perlawanan akhir membuahkan hasil.”Gembira dan bangga kerana gol saya berjaya membantu Uniten untuk mempertajan kejuaraan Piala.”
Ketua pasukan Raja Norsharina Raja Shabuddin berkata kesungguhan pemain sepanjang 60 minit menjadi kunci kemenangan pasukan.
“Saya sentiasa ingatkan rakan-rakan agar bermain tanpa ada rasa rendah diri dan bermain mengikut kekuatan kami, dan bukan mengikut rentak lawan,” kata beliau.
Pengendali UniKL Ladies Roslan Jamaluddin pula hampa tidak dapat merealisasikan kemenangan berganda tetapi memberikan pujian kepada pasukan Uniten-KPT. “Uniten bermain baik menangkis lima pukulan sudut penalti kami. Tetapi, saya puji kesungguhan pemain saya yang bermain bersungguh-sungguh walaupun ada yang cedera,” kata beliau.
UniKL Ladies, katanya, akan meneruskan persiapan untuk tampil buat kali kedua tahun depan dan berharap kembali dengan lebih mantap.
Sementara itu, pada satu lagi perlawanan, PDRM Blue Warriors meraih tempat ketiga apabila menumpaskan Sabah 4-0.Â