Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan berkongsi rasa bangga di atas kejayaan sensasi pelari negara, Khairul Hafiz Jantan bergelar raja pecut Asia Tenggara yang baru hasil kejayaan mengungguli saingan 100m pecut di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
“Sepertimana seluruh rakyat Malaysia, saya turut berbangga dengan kejayaan Khairul Hafiz Jantan menjadi pelari pecut terpantas Asia Tenggara walaupun ada cabaran hebat dari Filipina dan negara lain.
“Dia telah menunjukkan ketenangan dalam hadapi cabaran itu dan berlari penuh semangat. Saya percaya sokongan penonton telah memberi dorongan tambahan untuk beliau lari habis-habisan dan sudah tentu ini detik yang sangat manis untuk Malaysia,” kata beliau.
Tambah Najib, kejayaan Khairul Hafiz seharusnya menjadi dorongan buat atlet lain untuk turut memberikan segala yang terbaik demi memastikan Malaysia bukan sahaja berjaya sebagai penganjur terbaik tetapi juga pencapaian di gelanggang.
“Jadikan kejayaan Khairul Hafiz dan juga atlet-atlet lain sebagai dorongan. Kalau atlet lain boleh kenapa tidak kita, ini semangat yang mahu kita lihat. Kita mahu semua atlet dan ahli sukan mewakili Malaysia dapat merasai satu semangat bahawa mereka ambil bahagian bukan sahaja untuk diri sendiri tapi lebih dari itu membawa semangat dan imej negara.”
Dalam aksi final acara ‘riben biru’ 100m yang berlangsung pada Selasa, Khairul Hafiz tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10.38s, mengetepikan tentangan sengit juara bertahan Eric Shauwn Cray dari Filipina dan juga pelari Thailand Kritsada Namsuwun Thailanda yang memenangi pingat perak dan gangsa dengan catatan masa 10.43s.
Ia sekaligus menamatkan penantian panjang 14 tahun Malaysia untuk mengungguli acara tersebut sejak kali terakhir dilakukan oleh Nazmizan Muhammad di Hanoi 2003.