Dalam tempoh kurang dari sebulan sebelum temasya Sukan SEA ke 29 bermula pada Ogos depan, jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Kassim sedikit resah untuk mencari gandingan terbaik bagi acara 4×100 meter.
Daripada enam atlet pecut yang ada ketika ini, Kejohanan Olahraga dan Balapan Asia (ATF) di Vietnam akan menjadi medan terakhir buat Poad dan seorang lagi jurularih Balamurugan Maniam untuk menentukan empat pelari negara yang menggalas tugas dalam acara 4×100 meter nanti.
Selain Khairul Hafiz Jantan, Poad dan Balamurugan akan memantau perkembangan Jonathan Nyepa, Nixson Kenedy, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Aqil Yasmin.
“Saya akan cuba Haikal di Vietnam, jika kita mara ke separuh akhir dan final kelak, kita akan lihat dan lakukan perubahan untuk pelari pertama.
“Jika catatan masa yang dilakukan tiada sebarang perubahan positif, kita mungkin akan lakukan rombakan kedudukan pelari,”
Keresahan bukan terletak pada catatan masa peribadi masing masing, Poad menjelaskan kerjasama dan keserasian keempat empat pelari yang akan disenarai menjadi kunci utama kepada kuartet 4×100 meter negara.
“Berdasarkan rekod masa ketika di ATF India, pelari pertama dan ketiga perlu mencatat masa dibawah 10 saat, penilaian terhadap kemampuan atlet untuk berlari di kawasan selekoh, proses menerima dan memberi baton juga perlu diambil kira,”
“Untuk acara 4×100 meter, catatan masa individu adalah faktor kedua, kesefahaman adalah aspek utama yang perlu diberi perhatian.
“Kalau kita tengok pelari Jepun atau China sebagai contoh, catatan masa individu mereka tidak begitu baik, begitu juga dengan Thailand dimana mereka hanya mencatat masa 10.30 hingg 10.40 saat sahaja, tetapi kenapa mereka boleh lakar masa yang lebih baik?,” .
Menerusi latihan pusat yang diadakan sebelum temasya Sukan SEA bermula pada Ogos depan, Poad melihat kaedah ini sebagai salah satu formula untuk membentuk keserasian diantara atlet selain menggunakan khidmat Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengatur jadual dan program yang terbaik.
Poad dan barisan atlet olahraga akan berangkat ke Vietnam pagi esok dan dijangka pulang pada Jumaat.
Rekod bagi acara 4×100 meter masih kekal milik kuartet dari Thailand, Wachara Sondee, Siriroj Darasuriyong, Sompote Suqannarangsri, dan Sittichai Suwonprateep yang melakar masa 38.95 saat ketika beraksi di Sukan SEA 2007 di Thailand. – OLEH KU MOHD LUFTI