Jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim berpuas hati dengan pencapaian kuartet 4×100 meter lelaki negara yang Berjaya memperbaharui rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam semalam.
Gandingan Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Muhd Haiqal Hanafi melakar masa 39.62 saat untuk meraih pingat emas.
Lebih membanggakan catatan itu sekaligus memperbaharui rekod yang dilakar gandingan Johnathan, Mohd Izzudin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy ketika di Sukan SEA ke 28 di Singapura 2015 39.67 saat.
Bukan pingat yang menjadi ukuran buat Poad, sebaliknya mahu melihat prestasi sebenar kuartet negara di pentas Sukan SEA Ogos nanti.
“Bayangan barisan pelari yang akan beraksi dalam acara ini sudah ada. Ini adalah larian kedua mereka dan Berjaya memecahkan rekod dan ia satu pencapaian yang terbaik.
“Saya juga yakin kuartet ini mampu buat lebih baik lagi selepas ini,”kata Poad.
Olahraga Terbuka Vietnam merupakan kejohanan terakhir buat atlet pecut negara sebelum menjalani latihan pusat di ibu negara sebelum kembali ke trek di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 22 Ogos.
Rekod bagi acara 4×100 meter lelaki dipegang kuartet dari Thailand Wacha Sondee, Siriroj Darasuriyong, Sompote Sugannarangsri dan Sittichai Suwonprateep dengan catatan masa 38.95 saat ketika di Sukan SEA di Thailand pada 2007. – OLEH KU MOHD LUFTI