Mohd Ramdan Rosli akui bukan mudah untuk mengulangi pencapaian meraih podium sewaktu di Australia apabila bertandang ke Litar Suzuka, Jepun bagi menghadapi perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) pada 1 hingga 3 Jun ini.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam Perlumbaan 2 setelah Perlumbaan 1 dibatalkan sekaligus meraih podium pertamanya dalam kelas SuperSports 600cc.

“Podium di Australia menjadi pembakar semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik di sini. Walaupun mungkin faktor nasib baik juga membantu saya tetapi ia tak boleh dicapai tanpa usaha saya dan pasukan sepanjang minggu tersebut.

“Namun begitu, memang tidak dinafikan bukan tugas mudah untuk menaiki podium di Suzuka terutama dengan kehadiran ramai pelumba Jepun dan juara musim lepas, Anthony West yang kembali beraksi pada pusingan ini,” jelas Ramdan yang kali terakhir beraksi di litar Suzuka pada tahun 2013.

Tambahnya, “Jentera kami semakin baik berbanding pusingan pertama di Thailand. Saya juga semakin dapat menyesuaikan diri dengan jentera dan yakin minggu ini pasukan akan menyediakan jentera terbaik. Sesi latihan bebas pertama sangat penting untuk mengumpul data dan menyesuaikan diri dengan litar,” jelas Ramdan yang bergandingan bersama pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayuddin.

 

- Advertisement -