Oleh Muhammad Aiman
Pengendali Kelantan, Velizar Popov percaya kemenangan besar 6-1 ke atas Terengganu di gelanggang lawan pada Sabtu lalu, hanyalah permulaan kepada kebangkitan skuad bimbingannya untuk memberi tentangan lebih serius dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Skuad dengan jolokan The Red Warriors itu tampil dengan prestasi hambar pada saingan tahun ini dan menamatkan aksi pusingan pertama Liga Super dengan berada di tangga ketujuh, selain mencatat hanya empat kemenangan dari 14 perlawanan dalam semua pertandingan.
Dan sebaik Liga Malaysia kembali bersambung Selasa lalu dengan berlangsungnya aksi Piala Malaysia, Kelantan menundukkan Pahang 1-0 menerusi jaringan tunggal Wan Zaharulnizam Zakaria sebelum menyusuli kemenangan itu dengan pesta gol di Kuala Terengganu.
“Ini baru permulaan, kemenangan besar adalah penting untuk membangkitkan semangat pemain, tapi lebih penting adalah mengekalkan momentum dan bersedia untuk hadapi perlawanan selepas ini.
“Kita telah menunjukkan satu aksi yang baik dan mendominasi perlawanan menentang Terengganu. Ia bukan satu kemenangan mudah walaupun angka jaringan menunjukkan sebaliknya. Mereka bermain dengan laju dan pantas menekan apabila kehilangan bola selain banyak mencipta peluang.
“Ini adalah apa yang saya sentiasa mahukan dan pemain seperti (Blaze) Ilijoski telah membuktikan kualiti di depan gol, apapun ini adalah hasil daripada kerjasama sepasukan dan kerja keras yang telah keseluruhan pasukan ini tunjukkan dalam latihan sejak dua bulan lalu,” ujar pengendali dari Bulgaria itu, yang menggantikan K.Devan pada Mei lalu.    Â
Jumaat lalu, sang kijang melupakan seketika segala kontroversi dan isu dalaman yang membelenggu mereka apabila menyambung tirai aksi Liga Super yang berehat lebih sebulan dengan berpesta gol menewaskan Terengganu 6-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kelantan memanfaatkan sepenuhnya kepincangan Terengganu yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit kedua setelah tonggak pertahanan, Vincent Bikana dilayangkan kad merah untuk menjaringkan empat gol menerusi Blaze Ilijoski, manakala Wan Zack Haikal dan Wander Luiz meledak satu jaringan masing-masing.
Ianya adalah kemenangan pertama Kelantan dalam saingan liga selepas buntu pada tiga perlawanan terakhir sebelum ini, dan kali pertama menjaringkan enam gol sejak menewaskan Johor Darul Takzim 6-1 dalam saingan Piala Malaysia pada Oktober 2013. Â
Kemenangan membolehkan Kelantan melonjak ke tangga keempat kedudukan liga dengan 16 mata, mengatasi T-Team, Kedah dan Terengganu menerusi perbezaan jaringan manakala Terengganu tergelincir ke tangga ketujuh.Â