Bekas pemain tengah Negeri Sembilan, Faizal Zainal berpendapat pemotongan gaji pemain pada ketika ini adalah wajar tetapi memerlukan perbincangan bersama selepas melihat krisis yang sedang melanda seluruh negara ekoran penularan wabak COVID-19.
Jelas Faizal yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) ini, solusi pemotongan gaji tidak perlu dianggap sebagai jalan keluar untuk sesetengah pasukan lepas tangan kerana apa yang dialami ketika ini bukan sahaja membabitkan sukan bolasepak, malah sukan-sukan lain juga yang turut terjejas.
Justeru, bekas pemain era 90an ini merasakan semua pasukan termasuk pegawai dan pemain perlu bergerak proaktif berbincang selanjutnya mencari prosedur terbaik untuk jangka masa panjang pasukan seiring dengan garis panduan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam usaha menangani impak ekonomi gara-gara COVID-19.
“Bagi saya, pemain-pemain patut mengambil pertimbangan atas apa yang sudah berlaku dan sekurang-kurangnya langkah pertama seperti pemotongan gaji boleh bermula daripada skala yang kecil.
“Contoh, untuk permulaan pemotongan sebanyak 10 peratus dan bulan seterusnya boleh kurang lagi sehingga 5 peratus bergantung kepada situasi yang sedang berlaku ketika ini.
“Kalau kita tengok, rakyat juga sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam ekonomi sekarang, jadi pemain-pemain yang bergaji besar ini perlu membantu pasukan juga yang pastinya sedang berdepan masalah.
“PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) perlu menjadi orang tengah untuk pemain-pemain memahami situasi ketika ini kerana apa yang berlaku adalah isu global.
“Bagi pasukan yang memang ada masalah gaji daripada awal, sebagai majikan mereka bukan sahaja perlu berjanji tetapi harus bertanggungjawab sekiranya pemain setuju untuk dikurangkan gaji ketika ini agar mereka tetap melaksanakan pembayaran seperti yang dijanjikan”, jelasnya.
Bekas legenda pasukan Kedah, Manja Man turut sama melahirkan pendapat agar pemain-pemain khususnya mereka yang bergaji besar ada rasa prihatin untuk membantu apa yang sepatutnya.
Setiap pasukan boleh menilai sendiri gaji-gaji pemain dan pegawai mereka agar sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk membantu kelangsungan pasukan pada masa hadapan sekaligus membawa kepada kebaikan kedua-dua pihak.
“Jalan penyelesaian itu perlu ada daripada pasukan itu sendiri dan masing-masing perlu ada kesedaran sendiri untuk membantu antara satu sama lain.
“Mungkin pemain dan jurulatih ini sudah terbiasa mengalami situasi di mana mereka tidak dibayar gaji dan apabila kena ada pengurangan lagi, mereka rasa serik.
“Tetapi sebab itu saya kata, perbincangan sewajarnya perlu ada dan lebih teliti mencari solusi untuk kebaikan dua-dua pihak”, katanya.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap semua pihak berkepentingan akur dengan saranan daripada FIFA yang mana salah satunya adalah rundingan daripada pasukan dan pemain untuk mencari kata sepakat sepanjang krisis ini.