Isu pemotongan gaji kepada pemain bolasepak tempatan terus menjadi cerita yang tampak tiada berkesudahan.
Tatkala segelintir pihak yang melihat kaedah ini sebagai jalan penyelesaian memandangkan liga domestik masih lagi berehat susulan pandemik Covid 19.
Namun disebalik realiti pemotongan gaji yang disarankan, sebahagian besar pemain pemain sedang menjadi ‘mangsa’ keadaan.
Pemilik kelab gergasi Liga Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil bersuara memberikan pandangannya berhubung isu ini.
Jelas TMJ, kaedah pemotongan gaji mungkin sesuai jika semua pasukan yang terlibat ‘bersih’ dan mampu berdiri diatas kaki sendiri.
Ini kerana, pasukan dalam kancah Liga Malaysia cukup meriah dengan cerita hutang melibatkan majikan dan pemain.
Malah kebanyakkan pasukan masih menggunakan kerajaan negeri sebagai bantuan untuk menampung perbelanjaan setiap musim.
“Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19.
“Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu,”kata Tunku Ismail menerusi kenyataannya di laman rasmi Johor Southern Tigers hari ini.
Belum pun musim baru bermula, rentetan cerita gagal melunaskan tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai hinggakan hukuman diberikan, masih belum menemui jalan noktah.
“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.
“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini,”katanya lagi
Sikap pengurusan yang masih berfikiran ditakuk lama, tanpa mencari inisiatif untuk membawa masuk atau menambah syarikat swasta sebagai ahli keluarga pasukan belum menampakkan sebarang keputusan yang boleh dianggap membanggakan.
Sebaliknya, lebih separuh daripada perbelanjaan pasukan datangnya daripada kerajaan negeri.
Tidak dinafi ada liga yang mengalami masalah tunggakan gaji dan masing masing punya cara tersendiri untuk menangani isu ini.
Namun untuk Malaysia, mungkin lebih sesuai untuk menggunakan pendekatan urus tadbir sendiri dan sebarang keputusan adalah berdasarkan keadaan semasa pasukan atau kelab dan mengutamakan perkara yang lebih mustahak.