Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim menafikan keputusan-keputusan yang dibuat sejak dia mengambil alih pucuk pimpinan persatuan itu pada bulan lalu adalah bermotifkan politik dan menegaskan dia tidak akan sama sekali menjadi perosak kepada bolasepak negeri itu.
Keputusan paling tidak popular dibuat adalah menamatkan khidmat legenda bolasepak negeri itu Ahmad Shahrul Azhar Sofian – mula-mula sebagai Setiausaha Kehormat, dan kemudiannya sebagai pengurus pasukan selepas berakhir saingan Liga Super walaupun Ahmad Shahrul telah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang.
“Kita menghargai dan berterima kasih di atas sumbangan Ahmad Shahrul selama ini di dalam membawa imej yang baik serta kejayaan kepada bolasepak Perak, tetapi beliau tidak dapat memberi komitmen penuh kepada pasukan dan kita terpaksa cari pengganti.
“Perkara ini adalah lumrah dalam bolasepak dan saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas setiap keputusan yang dibuat, saya mahupun jawatankuasa PAFA tidak akan sesekali membuat keputusan yang menjahanamkan pasukan ini,” katanya.
Untuk rekod, sejak dilantik sebagai pengurus Perak pada Julai tahun lalu, Ahmad Shahrul telah menjadikan skuad Boss Gaurus sebagai pasukan disegani di mana mereka layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2017 dan kemudiannya muncul naib juara Liga Super, pencapaian terbaik sejak 2007.
Sementara itu, Hasnul berkata kekosongan posisi Ahmad Shahrul akan diisi oleh Timbalan Presiden persatuan itu, Datuk Adly Shah Ahmad Tah untuk sepanjang saingan Piala Malaysia yang bermula 4 Ogos ini.
Menurutnya, sasaran diletakkan kepada pasukan bimbingan Mehmet Durakovic di Piala Malaysia adalah layak ke perlawanan akhir. Kali terakhir Perak beraksi di pentas final adalah pada 2007. – OLEH MUHAMMAD AIMAN