Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain melahirkan rasa bangga dapat sebaris dengan jurulatih Liga Malaysia yang lebih berpengalaman apabila beliau dicalonkan dalam kategori Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual.

Nafuzi merupakan calon jurulatih tempatan paling muda dalam kategori Jurulatih Terbaik 2020 berbanding tiga lagi jurulatih tempatan lain iaitu Yusri Che Lah (Kelantan), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur) dan Manzoor Azwira, (Pulau Pinang) manakala enam lagi calon adalah jurulatih import iaitu Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (Johor Darul Taā€™zim), Frank Bernhardt (UiTM FC), Mehmet Durakovic (Perak) dan Michael Feichtenbeiner (Selangor).

Beliau yang kali pertama diberi kepercayaan menjadi ketua jurulatih nyata membuktikan kemampuannya untuk mengemudi pasukan dengan cemerlang pada musim ini apabila berjaya membawa skuad naib juara Piala Malaysia 2018 itu berada di tangga ketiga CIMB Liga Super 2020 selain turut layak beraksi di pentas Piala AFC 2021.

Namun, jurulatih berusia 42 tahun ini menyifatkan peluangnya untuk mengungguli kategori tersebut pastinya ditentang hebat oleh Mora yang jelas berjaya mengemudi JDT meraih trofi CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut manakala Aidil juga mempunyai aura tersendiri selaku pengendali Kedah untuk menjadi calon pilihan kali ini.

ā€œSaya sebenarnya masih tidak sangka dapat tercalon apatah lagi ini musim pertama saya ditugaskan selaku ketua jurulatih dan dapat berada sebaris dengan calon-calon lain yang lebih berpengalaman cukup memberi saya seribu satu rasa.

ā€œSaya akui bukan mudah untuk galas tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi dengan kerjasama semua dalam pasukan TFC berjaya meletakkan kami di kedudukan ketiga liga dan ini adalah pencapaian yang memuaskan untuk kami semua.

ā€œCalon pilihan yang saya rasa akan memberi saingan paling sengit adalah Mora dan Aidil kerana kita tahu bagaimana dua jurulatih ini membawa pasukan dengan cemerlang saban musim dan siapa pun yang akan dinobatkan Jurulatih Terbaik nanti, saya percaya yang dipilih itu adalah yang terbaikā€, jelasnya.

Sementara itu, pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih mengakui bukan mudah untuk mengakhiri penantian memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik buat kali pertama selepas beberapa kali diketepikan sejak tercalon dalam kategori tersebut pada tahun 2017.

Walaubagaimanapun, Azam tetap bersyukur apabila masih menjadi pilihan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik itu selain menganggap ia adalah satu pengiktirafan yang bermakna tidak kira siapa pun yang akan dinobatkan selaku Pemain Tengah Terbaik 2020.

ā€œSaya sudah empat kali tercalon dalam kategori ini termasuk tahun ini tetapi masih tiada rezeki untuk menang dan saya pun tidak boleh nak jangka siapa yang mungkin akan menang kerana sembilan lagi calon lain yang ada bukan calang-calang.

ā€œKalau nak ikutkan, tahun ini agak hambar sikit untuk pencapaian peribadi saya jika nak dibandingkan dengan prestasi tahun lepas, jadi kita tengoklah siapa yang paling layak untuk menang anugerah itu nanti.

ā€œBagi saya, Safawi Rasid (JDT) dan Afiq Fazail (JDT) antara yang mungkin akan cipta kejutan dan tidak mustahil mereka akan menjadi pilihan kegemaran untuk mengungguli kategori ituā€, katanya.

Selain Safawi dan Afiq, tujuh lagi calon untuk kategori Pemain Tengah Terbaik adalah Brendan Gan (Selangor), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (TFC), Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin (21 Disember 2020) jam 10 pagi dan akan berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh membuat undian dengan melayari bit.ly/ABK20Fans .

- Advertisement -