By Muhammad Aiman
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron meluahkan rasa kecewa dan mahu langkah segera diambil bagi membaikpulih kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.
Idris tidak mahu Melaka yang tampil beraksi dalam saingan Liga Super buat kali pertama selepas sembilan menjadi pasukan belasahan dan sekadar melengkapkan jadual saingan sebaliknya membuktikan mereka boleh memberi cabaran serius sepertimana disasarkan sebelum musim bermula.
“Prestasi pasukan perlu selari dengan belanja besar yang dikeluarkan untuk memperkuat pasukan. Langkah penyelesaian perlu diambil. Bukannya saya kata kita kena menang semua perlawanan, tetapi kalau tewas sekalipun, tewaslah dengan memberikan tentangan, tewas dengan bermaruah. Jangan jadi pasukan belasahan,” tegasnya.
Selepas lapan perlawanan, Melaka United ketika ini sudahpun tewas empat kali dan hanya mencatat dua kemenangan iaitu ke atas Kelantan dan Sarawak – mereka juga tidak menang tiga aksi terakhir, termasuk yang terbaru kekalahan memalukan 0-4 kepada Kedah pada Sabtu lalu dan berada di kedudukan tiga tercorot dengan mengumpul 10 mata.
Susulan daripada rasa kecewa diluahkan Idris, MUSA dilihat pantas mengambil tindakan awal dengan mengadakan pertemuan bersama pegawai dan pemain pasukan bagi mengenalpasti punca kemerosotan prestasi.
Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mahadi Yusoff berkata, “Kita sudah memberi amaran keras kepada beberapa pemain agar meningkatkan prestasi atau berdepan kemungkinan disingkirkan daripada pasukan. Kita bukan mahu menuding jari, tetapi adalah penting kita meneliti kelemahan pasukan yang beraksi tidak konsisten.”
Tambahnya, “Setakat ini dua pemain sudah diberi surat amaran, saya juga telah meminta jurulatih (Eric Williams) agar meningkatkan cengkaman di semua bahagian supaya lebih mantap dan seimbang. Kita akur, MU baru musim pertama dalam Liga Super, jadi kita beri ruang kepada pasukan untuk membaiki apa yang patut.”
Untuk rekod, MU antara pasukan yang dilabel mampu mencabar kejuaraan musim ini setelah berbelanja besar merekrut beberapa pemain berprofil tinggi termasuk Amri Yahyah, Izzaq Faris Ramlan, Khairu Azrin Khazali, Fauzi Roslan dan Sergio Aguero selain mengekalkan khidmat ayam tambatan, Ilija Spasojevic.