Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek memasang perancangan untuk mempertingkatkan lagi sistem latihan sedia ada dalam misi untuk meletakkan Malaysia antara kuasa besar di kejohanan Remaja Asia malah Kejuaraan Dunia Remaja.
Jelas Datuk Misbun, dengan keadaan semasa di negara yang telah membenarkan sector sukan beroperasi kembali selepas hampir dua tahun bergelut dengan pandemik Covid 19, barisan sistem latihan akan dipertingkatkan pada tahun 2022.
“Kita harap tahun depan ini, dengan kemungkinan MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) semakin reda, latihan kita akan tambah lagi dan kaji semua program latihan khusus yang akan diberikan kepada jurulatih untuk tingkatkan lagi pemain pemain kepada satu taraf dimana kita oleh memegang peringkat Remaja Asia, Kejuaraan Dunia Remaja dan membentuk satu pasukan remaja yang sangat bagus, itu harapan saya.
“Sepatutnya mereka boleh menyerlah lagi sekiranya mempunyai modul dan program yang lebih tinggi standardnya dimana rejim rejim yang sepatutnya mereka lakukan untuk memperkuatkan lagi asas kecergasan fizikal dan teknik kerana dengan penggunaan sistem 21 mata dengan taktikal yang tinggi ketika ini, yang penting adalah bagaimana untuk mencuri, menyusun atur dan membunuh permainan dan sebagainya, ada banyak kriteria disitu.” kata Datuk Misbun.
Tambahnya lagi, sepanjang 2021 barisan kejurulatihan optimis apa yang diperlukan oleh para pemain remaja yang ‘berkurung’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM) telah diberikan apa yang diperlukan untuk bergelar seorang pemain badminton yang terbaik.
Pemain pemain diberikan pelepasan untuk bercuti selama bermula 23 Disember 2021 dan akan kembali melaporkan diri ke ABM Bukit Kiara pada 2 Januari 2022.
“Saya rasa dan yakin mereka telah mendapat apa yang sebenarnya mereka harapkan sebagai seorang pemain badminton. Mereka akan balik dan masih mengikuti latihan latihan dan juga nasihat yang kita berikan. Dalam tempoh dua minggu ini mereka akan menyertai kelab kelab atau pasukan negeri masing masing dang berkongsi apa yang telah dipelajari di ABM ini.
“Saya juga telah memesan kepada jurulatih jurulatih untuk memantau pemain pemain dari semasa ke semasa supaya mereka tidak alpa dan leka. Kita tidak mahu bila mereka datang semula, berat badan terlebih dua, tiga kilogram kerana ia akan menyukarkan situasi dan saya juga telah memberi pesanan kepada pemain pemain yang akan melalui proses transisi ke atas (skuad senior) dan pemain bawah 16 yang akan ke atas berkenaan apa yang mereka perlu lalui dan hadam apa yang telah kita ajar kepada mereka.”tambah Datuk Misbun lagi